Isnin, 5 Jun 2017

Selangor boleh lupakan Chan Yew



ARKIB : 10/10/2005

KUALA LUMPUR - Selangor boleh melupakan hasrat mendapatkan pemain yang pernah berlatih di kelab Bahagian Dua England, Lim Chan Yew untuk memperkuatkan bentengnya bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia yang bermula 3 Disember ini.

Bekas benteng Public Bank dan skuad kebangsaan itu semalam mengumumkan penyertaannya bersama MPPJ sekali gus mengakhiri usaha Gergasi Merah untuk menampung kelemahan barisan belakangnya dengan khidmat seorang pemain tempatan.

Chan Yew yang pernah menjalani ujian pendedahan bersama kelab Bahagian Dua England, AFC Bournemouth pada Julai lalu, berkata, MPPJ menjadi pilihannya kerana tawaran bekas juara Piala Malaysia 2003 itu lebih baik dan lebih cepat dikemukakan.

``Mungkin juga sudah rezeki saya dengan MPPJ biarpun Selangor ada cuba tawarkan tempat, bulan lalu,'' katanya yang kini baru pulih daripada menjalani satu pembedahan sebelum kembali aktif, bulan depan.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur dan berusia 27 tahun ini, terpaksa mencari pasukan baru ekoran penarikan diri secara mengejut Public Bank, naib juara Liga Super 2004 daripada Liga Perdana, musim depan.

Public Bank telah diturunkan ke Liga Perdana setelah menduduki tempat kedua tercorot Liga Super pada musim ini manakala MPPJ sekadar di tempat kelima dan tidak begitu menyerlah dalam Piala Malaysia setelah berada di tangga ketiga Kumpulan C.

Selangor sebelum ini berura-ura mendapatkan sama ada benteng tempatan mahupun import sejak bahagian tersebut dikritik sebagai elemen paling lemah sepanjang Liga Malaysia malah gagal ditampung oleh seorang pemain dari Australia, Badui Farah.

Chan Yew pernah bergandingan bersama Ahmad Tharmini Saiban yang cemerlang membantu Selangor menjulang Piala Malaysia, ketika beraksi pada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi, April lalu di mana Malaysia mara ke suku akhir.

Mengenai peluangnya untuk mencipta sejarah sebagai pemain pertama negara beraksi dalam Liga England itu, katanya, tiada sebarang khabar terbaru diterimanya lagi daripada pihak pengurusan kelab mahupun TWOBD Events yang bekerjasama menghantarnya.

Ketika menjalani pendedahan di sana, kelab berkenaan dikatakan memang memerlukan seorang atau dua pemain pertahanan kiri apatah lagi dengan dua pemain tetap mereka masih tercedera.

Chan Yew turut diuji di pelbagai posisi seperti sayap kiri, sayap kanan dan bek kiri ketika mengharungi empat perlawanan persahabatan seperti menentang Southampton (Bahagian Satu) dan Portsmouth (Liga Perdana).

Beliau dipilih menjalani latihan di Bournemouth pada Mac lalu dengan dua lagi pemain kebangsaan, Fadzli Shaari (Pahang) dan Syamsuri Mustafa (Terengganu) tetapi hanya pemain Public Bank itu yang dipanggil mengikuti ujian susulan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4j7ExeWQp
© Utusan Melayu (M) Bhd