Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

PENYERANG Johor Darul Ta'zim
(JDT), Syafiq Ahmad menganggap tuah menyebelahi dirinya selepas jaringan
tunggalnya membantu pasukan itu mencipta sejarah menewaskan juara bertahan,
Kashima Antlers 1-0 dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium
Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu
berkata, gol yang dijaringkannya adalah hasil kerjasama berpasukan dan tanpa
mereka sudah tentu agak sukar untuk mencipta jaringan tatkala JDT menentang
pasukan yang hebat di rantau Asia dan juga juara bertahan.
Dia yang dipilih selaku pemain
terbaik perlawanan itu menegaskan amanah yang diberikan oleh barisan
kejurulatihan untuk turun beraksi pastinya ingin dibalas dengan persembahan
terbaik walaupun sedar dirinya agak kerdil tatkala bersaing dengan pemain
pertahanan Kashima Antlers yang dibarisi pemain berkualiti.
"Kami turun tanpa kelibat
Diogo (Luis Santo) dan sepanjang latihan menjelang aksi ACL saya bekerja keras
untuk menyerlah dalam perlawanan itu. Syukur kepada Allah apa yang saya hajati
untuk bantu pasukan terhasil.
"Apabila bercakap mengenai
penyerang, sudah tentu ramai yang mahu lihat penyerang import. Tapi apabila
tiada Diogo ia memberi ruang kepada saya mengambil peluang beraksi dengan
sepenuh hati dan mahu membuktikan penyerang tempatan juga mampu menyerlah.
"Yang penting dalam
permainan itu, kudrat saya membantu JDT dan sentiasa beri tekanan kepada
benteng lawan malah saya akui berpuas hati dengan persembahan pada aksi itu
walaupun tidak menghabiskan perlawanan kerana dikeluarkan pada hujung babak
kedua," katanya.
Ditanya mengenai jaringan tunggal
yang dihasilkan pada miniit ke-69 tatkala ramai yang menganggap JDT akan
berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan apabila menentang juara bertahan
dalam saingan Kumpulan E, Syafiq menegaskan dalam bolasepak jika ada
kesungguhan tidak mustahil mampu mendapat pulangan positif.
"Apa yang saya nampak
sebelum menjaringkan gol adalah ruang yang kecil diberikan benteng lawan
walaupun dua pemain cuba beri tekanan tetapi saya bertindak pantas dengan
melencongkan bola tepat ke penjuru kiri gol lawan.
"Saya sedar jika
melengah-lengahkan untuk merembat bola mungkin peluang menjaringkan gol
tertutup dan sebab itu dengan pantas menyepak bola dan tepat menerjah jaring
dan ia merupakan kepuasan bagi saya menjaringkan gol," katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Khamis, 9 Mei 2019 @ 1:18 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan