MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak
Selangor (FAS) bertindak awal sebelum menjadi mangsa ‘rundingan belakang’
apabila meletakkan klausa pelepasan ke atas semua pemain skuad Red Giants musim
ini.
Setiausaha Agung FAS, Dr Johan
Kamal Hamidon berkata, purata tanda harga yang perlu dibayar mana-mana pasukan
yang berminat mendapatkan khidmat pemain Selangor adalah antara RM3 juta hingga
RM6 juta.
Katanya, antara pemain paling
bernilai sudah tentunya tonggak pertahanan kanan skuad Harimau Malaya, Syahmi
Safari dengan klausa pelepasan RM6 juta.
“Selepas FAM (Persatuan Bolasepak
Malaysia) memperkenalkan kontrak baharu pada 2017, FAS sudah menggunakan
templat itu dengan setiap pemain diletakkan klausa pelepasan.
“Raja Muda (Presiden FAS, Tengku
Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah) mahu setiap pemain dilindungi
persatuan dan sebab itu semua urusan mengenai kontrak pemain sudah diselesaikan
lebih awal pada November lalu.
“Ia bukan saja dapat melindungi
pemain, malah dapat menjaga kepentingan dan hak pasukan yang sudah berbelanja
besar terhadap seseorang pemain,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari
ini.
Jelasnya, isu perebutan pemain
muda negara, Akhyar Rashid antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Johor
Darul Ta’zim (JDT) perlu diambil iktibar oleh semua pasukan terutamanya dalam
memperkenalkan klausa pelepasan dalam kontrak pemain.
“Isu KFA yang saya dengar, mereka
masih menggunakan templat lama dalam kontrak pemain. Jadi saya harap, pasukan
lain juga harus memperbaharui kontrak mengikut garis panduan yang diletakkan
oleh FAM supaya isu seperti Akhyar dapat dielakkan,” katanya.
Akhyar, 19, yang berpindah ke JDT
tanpa restu KFA, kini bernilai RM12 juta selepas menandatangani kontrak selama
empat tahun bersama skuad Harimau Selatan.
Dalam perkembangan lain, Dr Johan
turut mengesahkan skuad kendalian B Sathianathan akan ke Thailand dari 13
hingga 17 Januari ini bagi mengharungi tiga aksi persahabatan menentang kelab
negara itu sebagai persiapan terakhir menjelang Liga Super bulan depan.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Isnin, 7 January 2019 @ 4:10 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan