MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

PENYERANG Syafiq Ahmad muncul
wira Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas jaringan tunggal pada babak kedua sudah
cukup memalukan juara bertahan, Kashima Antlers dari Jepun 1-0 dalam aksi
Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin,
sebentar tadi.
Walaupun menang, peluang JDT
untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik tampak sukar selepas Shandong Luneng
FC dari China menewaskan Gyeongnam FC dari Korea Selatan 2-1 dan skuad Harimau
Selatan perlu berdepan kelab dari Korea Selatan itu pada aksi terakhir di
gelanggang lawan 22 Mei nanti.
Kashima Antlers pula berdepan
laluan berliku dan perlu menang berdepan kelab dari China itu jika mengidam
slot ke pusingan seterusnya.
Dalam perlawanan itu rombakan
kecil dilakukan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora selepas menyenaraikan Syafiq
mengemudi jentera serangan bagi menggantikan Diogo Luis Santo yang digantung
satu perlawanan.
Tuan rumah tampak bermula dengan
corak permainan berhati-hati tanpa mahu melakukan sebarang kesilapan sambil menyusun
strategi untuk mengasak kubu lawan dengan menguji penjaga gol, Kwoun Suntae
pada minit ke-10 menerusi sepakan percuma Safawi Rasid.
Skuad kendalian Go Oiwa juga
tidak mahu melepaskan peluang mengasak kubu tuan rumah apabila bola rembatan
deras Leo Silva pada minit ke-13 berjaya ditepis penjaga gol, Izham Tarmizi
Roslan bagi mengelak gawang dibocori.
Percubaan terbaik tuan rumah
hadir pada minit ke-38 apabila bola rembatan Nazmi Faiz Mansor hampir
memerangkap Suntae namun penjaga gol Kashima Antlers sempat menutup ruang untuk
menolak keluar bagi mengelak bola menerjah jaring.
Kashima Antlers melepaskan
peluang terhidang pada minit ke-40 apabila bola sepakan lintang kapten Endi
Yasushi yang bergerak di posisi sayap kiri gagal disudah dengan kemas Sho Ito
yang sekadar merembat bola melepasi palang gol ketika Izham Tarmizi sudah
tertewas.
Pada babak kedua pelawat mula
menggandakan asakan untuk memecah kebuntuan namun kekentalan benteng tuan rumah
diterajui Mauricio Nascimento dan Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya menghalang
beberapa gerakan berbahaya lawan.
Tuan rumah melakar kejutan ke
atas juara bertahan selepas menembusi gawang lawan pada minit ke-69 apabila
Syafiq secara solo menyusup masuk ke dalam kotak penalti biarpun cuba diapit
dua pertahanan namun bingkas melencongkan bola tepat ke penjuru kanan gol
menewaskan Suntae.
Jaringan itu sudah cukup
memastikan JDT meraih tiga mata pertama dalam penampilan pertama kancah kelab
elit Asia dan jelas membanggakan walaupun tidak diletak harapan tinggi tatkala
sekadar menimba pengalaman.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 8 Mei 2019 @ 10:47 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan