Isnin, 27 Mac 2017

Hasmawi akan diuji sebagai pengemudi bahagian tengah

ARKIB : 07/02/2003
KELIBAT ayam tambatan Pulau Pinang, Hasmawi Hassan yang diletakkan sebagai pengemudi di bahagian tengah pada musim ini akan teruji sepenuhnya pada pertembungan pembuka tirai menentang juara Piala Malaysia, Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Batu Kawan, Ahad ini, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM

Walaupun sudah serasi dengan posisi lamanya sebagai penggempur sejak dua tahun lalu, perubahan angin itu juga dilihat sebagai strategi sulit Pulau Pinang untuk menundukkan jaguh Lembah Klang itu.

``Perubahan itu sebenarnya biasa dalam mana-mana pasukan dengan tujuan memantap dan mengukuhkan lagi bahagian-bahagian yang difikirkan perlu.

``Tapi sekiranya ia dilihat sebagai strategi terserah kepada tafsiran'' kata jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti semalam.

Perubahan posisi pemain yang akan menyambut hari jadinya yang ke-23, Ogos ini juga mampu mempelbagaikan kemahiran dan pengalaman pelatih skuad kebangsaan itu.

``Saya merasakan dia (Hasmawi) mampu memikul tanggungjawab di posisi itu kerana sebelum ini dia pernah bermain ditengah.

``Walaupun gandingannya dengan rakan lain belum begitu mantap namun dengan kesungguhan dan kerja keras saya yakin Hasmawi boleh buat,'' ujarnya.

Selain Hasmawi turut mengisi slot di tengah ialah R. Sureshkumar, Nordin Khamis, Ng Kok Heng dan Chow Chee Weng.

Perubahan itu dilakukan berikutan penampilan bekas penyerang Terengganu, Wan Rohaimi Wan Ismail dalam skuad Pulau Mutiara yang akan digandingkan dengan Gustavo Alberto Romero juga memberi banyak ruang kepada Irfan mengisi kekosongan jika berlaku kecederaan.

``Saya akan bekerja keras untuk memainkan peranan yang diberikan oleh jurulatih, walaupun baru dua bulan digandingkan dengan rakan di bahagian tengah namun saya merasakan sudah ada keserasian dengan mereka.

``Pengalaman di bahagian itu ketika mula menyertai Pulau Pinang di bawah kendalian Moey Yok Ham pada tahun 1999 juga banyak membantu,'' kata Hasmawi ketika dihubungi.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cWV4zUZI

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan