Jumaat, 5 Mei 2017

Hasmawi dapat tawaran Perlis

ARKIB : 25/12/2004
Oleh YUSRI SAHADI sebalik kontroversi yang dicetuskan oleh penyerang Kedah, Hasmawi Hassan, Perlis melahirkan minat untuk mendapatkan khidmat pemain itu jika Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kekal dengan keputusan menamatkan kontraknya musim depan. Minat itu disuarakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Abdul Jamil Saad yang bersimpati dengan nasib pemain lincah itu.
Bagaimanapun, kata beliau, PFA belum berbincang dengan pemain itu.
``Kita hanya menyuarakan minat tetapi ia terpulang kepada Hasmawi. Pintu kami sentiasa terbuka,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Kangar semalam.
Sabtu lalu, Hasmawi, 23, mencetuskan kontroversi apabila membatalkan pernikahan dengan seorang jururawat Norlida Abdul Rahman, 23, di Kluang pada saat-saat akhir.
Berikutan tindakannya itu, Naib Presiden KFA, Datuk Chong Itt Chew berkata, persatuan tersebut akan menamatkan kontraknya kerana menyifatkan perbuatannya memalukan.
Abdul Jamil berkata, kontroversi yang dicetuskan oleh Hasmawi adalah bersifat peribadi dan tidak ada kaitan dengan kariernya sebagai pemain bola sepak.
Sehingga kini, tegas beliau, pihaknya tidak mendengar sebarang masalah disiplin yang dicetuskan oleh pemain itu sama ada ketika bersama Pulau Pinang atau Kedah.
Abdul Jamil memberitahu, Perlis mungkin mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim bagi menggantikan tempat Norizan Bakar yang berhijrah ke Pulau Pinang musim depan.
Namun perkara itu hanya boleh diputuskan sendiri oleh Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan