Jumaat, 17 Mac 2017

Farizal dipilih berlatih di Jerman

ARKIB : 06/06/2001
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
SATU lagi permata baru bola sepak berjaya dicungkil oleh Pahang semalam apabila Mohd. Farizal Mohd. Marlias dipilih menjalani latihan di Sekolah Bola Sepak Portas, Hannover, Frankfurt, Jerman.

Farizal, 15, terpilih menjalani latihan sebagai penjaga gol di sekolah berkenaan selama tiga minggu mulai awal Julai depan atas cadangan Jurubimbing Penjaga Gol Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Holger Obermann.

Ia sekali gus meletakkan penuntut Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar, Kuantan ini sebagai pemain muda ketiga dari Pahang yang terpilih untuk berguru di negara Eropah sesudah Juzaili Samion dan Fadzli Shaari.

Juzaili yang pernah menyarung jersi negara pada pusingan kelayakan Piala Dunia, Mac lalu, bermain dengan kelab Perancis, Strasbourg manakala Fadzli menimba pengalaman di bawah SV Wehen, Jerman.

Pendedahan mereka bertiga banyak berpunca daripada usaha gigih Obermann dari Jerman yang pernah bertugas dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Pengarah Jabatan Pembangunan Belia.

Menurut Obermann, Farizal ke Frankfurt atas tajaan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa di bawah Program Pembangunan Belia Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) 2001.

Semalam Farizal menerima sepasang sarung tangan daripada Obermann sebagai simbolik penghantarannya ke sana dalam satu majlis rasmi ringkas di sebuah hotel di Kuantan.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Presiden PBNP, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Naib Presiden I, Datuk Jamal Nasir Ismail.

``Farizal berbakat besar. Kita perlu berikan beliau pendedahan dan cabaran baru untuk menggilap bakatnya itu dengan menghantar berlatih di Sekolah Portas.

``Dia juga merupakan salah seorang penuntut paling senior dalam Akademi Bola Sepak Negeri Pahang,'' kata Obermann yang juga Penasihat Teknikal PBNP.

Kata beliau, sekolah tersebut yang dibangunkan sejak 25 tahun lalu memiliki tenaga pengajar terlatih dan berpengalaman luas dalam Piala Dunia seperti Uwe Seeler, Sepp Maier, Harald Schumacher dan Wolfgang Overath.

Sementara itu, Farizal berjanji akan memanfaatkan tempoh kesempatan tiga minggu di sekolah itu untuk menimba sebanyak mungkin ilmu baru sebagai penjaga gol.

``Saya akan cuba sedaya upaya mempelajari apa yang mereka tunjukkan di sekolah itu. Ini merupakan peluang keemasan yang tidak akan saya sia-siakan,'' katanya yang amat meminati penjaga gol Perancis dan Manchester United, Fabien Barthez.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4be3cOJcx

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan