ARKIB : 01/04/2002
BEKAS jurulatih bola sepak Sabah,
Kelly Tham berkata penyerang Zainizam Marjan akan menjadi pemain penting dalam
pasukan negeri itu dan mungkin, untuk pasukan kebangsaan, dalam masa tiga tahun
lagi.
Kelly, yang membimbing skuad
Sabah memenangi Piala FA buat pertama kali pada 1995, berkata pemuda berusia 22
tahun itu, yang dinaikkan ke senior dari liga simpanan pada 2000, mempunyai
ciri-ciri untuk menjadi seorang pemain berkualiti.
``Budak ini masih muda dan ada
potensi untuk pergi juah. Dia ada skil...dia boleh jaringkan gol, dia seorang
opportunis bila berada depan gol dan tahu bagaimana hendak menyesuaikan diri
dihadapan gol,'' kata beliau kepada Bernama di Kota Kinabalu, semalam.
Zainizam, yang berasal dari
Kulambai, Kota Belud, sebuah daerah yang terkenal sebagai daerah Penunggang
Kuda Bajau, mula mendapat perhatian apabila menjaringkan dua gol cantik ketika
Sabah bertemu Johor FC pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Penampang
24 Mac lepas.
Keaslian persembahannya
membuktikan dia mempunyai kehebatan luar biasa di barisan serangan, sekaligus
mengingatkan kita kepada ketajaman permainan abangnya, yang juga bekas
penyerang pasukan kebangsaan Matlan Marjan, dan di atas kehebatannya itulah,
jurulatih pasukan Liga Perdana Satu Sabah yang berasal dari Australia, Ken
Worden menamakan Zainizam sebagai `Pemain Terbaik' perlawanan yang mendebarkan
itu.
``Seperti abangnya (Matlan),
Zainizam adalah seorang striker yang baik. Tetapi, pada ketika ini, kita tidak
boleh samakan dia dengan Matlan... kerana cuma ada seorang sahaja Zainizam dan
begitu juga dengan Matlan. Kedua-duanya mempunyai kekuatan dan kehebatan
tersendiri.
``Zainizam adalah seorang pemain
pemalu dan perlu terus membuktikan kehebatannya, serta diberi pendedahan
maksimum seperti yang saya lakukan ke atas Matlan pada lewat tahun 80an,'' kata
Kelly mengenai masa depan Zainizam.
Beliau berkata pada mulanya,
Matlan juga mengalami pengalaman yang sama apabila diserapkan ke dalam skuad
senior pada tahun 1989 ketika berusia 18 tahun dan diletakkan dibawah awasan
jurulatih Frank Upton.
``Kita bentuk dia (Matlan) dan
dengan perlahan dia berubah dan meningkat,'' kata Kelly.
Matlan, yang pernah mendapat
gelaran `Maradona Sabah,' hanya mula menyinar apabila mewakili Malaysia pada
perlawanan menentang England pada 1992. Ketika itu dia menjaringkan dua gol,
dan selepas beberapa tahun dalam pasukan kebangsaan, dia diberi penghormatan
menjadi ketua pasukan.
Kebolehannya dalam mengelecek
bola, mengelirukan barisan pertahanan dengan kaki kirinya, mendapat pujian
peminat tempatan ketika itu, dan ini telah meletakkan kariernya pada kedudukan
yang sama dengan bekas penyerang kebangsaan seperti James Wong dan Hassan Sani,
yang turut membantu Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Moscow pada
1980.
``Saya berharap satu hari nanti
Zainizam mampu bermain untuk pasukan kebangsaan. Dia masih kurang pengalaman
tetapi saya yakin dengan kepintarannya mengelecek bola, skilnya dalam menendang
dengan tepat, taktik permainannya yang sering mengelirukan lawan, dia akan
bertambah maju apabila tiba pada masanya,'' kata Matlan sambil menambah beliau
akan berusha mencurahkan segala pengalamannya pada masa lalu kepada adiknya
ini.
Kelly berkata, untuk menjadi
seorang penyerang yang berjaya, seseorang itu perlu kuat disiplin, komited,
mematuhi arahan jurulatih terutama ketika berada di padang.
``Kadang-kadang, apabila seorang
pemain itu sudah menjadi bintang, dia mudah besar kepala. Sikap seperti ini
perlu dibuang jika mahu pergi lebih jauh dalam bola sepak.
``Pada masa lalu, para pemain
akan besar hati jika dipanggil mewakili pasukan negeri atau negara tanpa
memikirkan sangat apa yang akan mereka dapat, tetapi sekarang sentimen itu
telah mula berkurangan,'' kata beliau.
Sebagai menyambut pujian Kelly ke
atas Zainizam, pengurus pasukan Sabah, Datuk Majin Ajing berkata: ``Dia memang
seorang pemain yang kuat disiplin sama ada di luar mahupun ketika di padang.''
``Ini memang tidak dapat
dinafikan. Saya bangga melihat Zainizam sudah mula menjaringkan gol. Ini baik
buat Sabah dan saya berharap dia dapat mengekalkan pencapainnya ini atau
melakukannya pada setiap perlawanan,'' kata Majin.
Selain James, Hassan dan Matlan,
Sabah, juga dikenali sebagai negeri yang berjaya melahirkan penyerang
kebangsaan seperti Suharmin Yusof dan Mohamad Jaya Kassim, yang berada dalam
pasukan kebangsaan untuk beberapa ketika.
Penilian Kelly terhadap pemain
adik beradik Marjan ini ialah perlunya pendekatan yang sesuai dalam pembangunan
bola sepak Sabah, yang dkenali sebagai negeri dibawah bayu.
``Bukan mudah untuk melahirkan
penyerang yang baik, tetapi apa yang sangat diperlukan ialah percayakan pemain
kita sendiri. Sabah FA sepatutnya mempastikan menaikkan sekurang-kurangnya tiga
pemain liga simpanan ke skuad senior setiap tahun.
Dengan berbuat demikian, kata
Kelly, pemain-pemain muda akan berpeluang merasai suasana sebenar dalam skuad
senior walaupun pada permulaannya mereka mungkin tidak menjadi pemain tetap
dalam pasukan.
``Jika tidak, dalam jangka masa
panjang kita akan kalah, jika kita terus bergantung kepada pemain dari negeri
lain dan pemain muda kita kehilangan peluang menyarung jersi pasukan negeri,''
kata beliau.
Majin ketika ditanya mengenai
perkara ini berkata: ``Saya bersetuju dengan Kelly. Ini sebenarnya telah
menjadi amalan kami pada masa lalu, tetapi untuk tahun ini kita menyatukan
pasukan dulu, kerana kita baru dinaikkan ke Perdana Satu dari Perdana Dua musim
lepas.''
Majin memberi amaran bahawa
pemain-pemain senior yang gagal musim ini bahawa mereka akan disingkirkan musim
depan dan ada kemungkinan pemain dari liga simpanan akan mengambil tempat
mereka. Selain dari itu Sabah FA juga akan menganjurkan lebih banyak kejohanan
tempatan di peringkat daerah untuk mencungkil bakat-bakat baru.
Sabah mungkin terpaksa menunggu
sedikit masa lagi supaya program pembangunannya ini membuahkan hasil, tetapi
ketika ini kita perlu tumpukan perhatian kita kepada Zainizam Marjan dulu. _
Bernama
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4c125z3gT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan