Sabtu, 18 Mac 2017

Hoe Guan selamatkan PP


 

ARKIB : 11/07/2001
PEMAIN Selangor, Mohd. Nizaruddin Yusof (kanan) terjatuh ketika diasak dua pemain Johor, Rashidi Saari (tengah) dan Mohd. Jamil Ismail dalam aksi bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 2-1.

JARINGAN pada lewat permainan menerusi Ooi Hoe Guan menyelamatkan kedudukan Pulau Pinang selaku pendahulu bola sepak Liga Perdana Satu apabila mengikat pasukan tuan rumah, Sarawak 1-1 di Stadium Sarawak di Kuching, semalam.

Kedudukan itu turut dibantu dengan keputusan seri 1-1 antara Terengganu dan Negeri Sembilan di Seremban.

Satu lagi pasukan yang mampu mencabar pendahulu iaitu Kelantan, tewas 1-0 kepada Perak di Kota Bharu.

Sarawak mengejutkan Pulau Pinang menerusi jaringan Mohd. Ali Sapiee seawal minit kelapan tetapi sepakan lambung Hoe Guan minit ke-79 melegakan pasukan bimbingan Irfan Bakti itu untuk mengekalkan kedudukan mereka untuk sekurang-kurangnya hingga Sabtu ini.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Terengganu nampak bersemangat untuk kembali merampas kedudukan tangga teratas apabila penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar membuka jaringan pada minit ke-21.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan menyamakan kedudukan menerusi pemain pertahanan, Khairul Anuar Baharom pada minit ke-54.

Kelantan yang berpeluang untuk memintas Pulau Pinang dan Terengganu di tempat teratas, gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV apabila tewas tipis 1-0 kepada Perak.

Jaringan Shamsol Saad pada minit ke-65 sudah cukup untuk mengecewakan pasukan K. Rajagopal itu yang kekal di tangga ketiga.

Selangor semakin merapatkan jurang mata dengan tiga pasukan teratas apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Johor di Stadium Shah Alam.

Mohd. Nizaruddin Yusof menyamakan kedudukan pasukan tuan rumah sebaik babak kedua bermula seminit selepas Johor membuka jaringan menerusi Khairulnazri Salman minit ke-31.

Rusdi Suparman menjaringkan gol kemenangan Red Giants pada minit ke-66.

Perlis membantutkan impian Melaka untuk terus mencatat kemenangan pada pusingan kedua ini, apabila menang selesa 3-0 di Stadium Utama, Kangar.

Hairil Zambri Rashid menjaringkan dua gol minit ke-46 dan 73 dan S. Paidiya Rau (76) untuk Perlis melonjak ke tangga keenam di belakang Perak dengan 19 mata.

Pahang tergelincir ke tangga ketujuh selepas tewas 2-1 kepada Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras.

Pahang membuka jaringan minit ke-43 menerusi sepakan penalti Ahmad Shahrizan Salleh tetapi dua gol dalam tempoh 10 minit menerusi Liew Kim Tu (60) dan Rosle Derus (69) meranapkan skuad Tok Gajah.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhPKNFlc

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan