MyMetroNode
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur:
Tiada apa yang mahu dikatakan jurulatih Skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank
Bernhardt selain memuji persembahan anak buahnya membenam skuad Bawah 22 Tahun
(B-22) Filipina dengan 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin.
Meskipun
beliau tidak terlalu menekankan soal keputusan pada perlawanan pertama
kendaliannya, apa yang dipamerkan skuad muda negara itu tetap mengikut strategi
diterapkannya dalam latihan singkat sebelum ini.
“Ini hanya
perlawanan ujian dan keputusan tidak terlalu penting. Jika mereka tunjukkan apa
yang dipelajari dalam latihan, sudah pasti keputusan baik akan diperoleh.
“Sememangnya
ini kemenangan yang bagus untuk saya memulakan tugas baru,” kata Bernhardt
kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.
Dalam aksi di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu, skuad muda negara yang memulakan
persiapan bagi menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan mendominasi
sepenuhnya permainan.
Deretan
peluang disia-siakan walaupun pasukan tuan rumah tetap berjaya menyumbat dua
gol pada setiap babak menerusi Muhammad Arif Farhan Md Isa, S Kumaahran, N
Thanabalan dan Farhan Roslan.
Biarpun jarang
menyerang, Filipina B-22 masih mampu mencuri satu gol hasil sepakan penalti
John Christopher Kanayama dan pertahanan negara sedikit goyah apabila berdepan
serangan balas pantas pasukan lawan.
“Persembahan
yang baik pada babak pertama, kami mencipta banyak peluang dan itu yang saya
mahu lihat. Pada babak kedua kami melakukan banyak pertukaran jadi rentak
permainan hilang.
“Kami juga
berdepan masalah dengan serangan balas pantas lawan tapi akhirnya saya harus
berikan pujian kepada semangat tinggi pemain,” kata Bernhardt.
Menurut
jurulatih kelahiran Jerman itu, beliau akan menilai tahap prestasi pemain dan
kemungkinan bersedia memberi peluang kepada mereka yang tidak beraksi kelmarin
untuk beraksi menentang skuad kebangsaan Nepal dalam satu lagi aksi
persahabatan di Paroi Ahad ini.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 9:13 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan