MyMetroArena
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super,
Johor Darul Ta'zim (JDT) nyata pantas 'membuat kerja' selepas sah menyambar
pemain muda kebangsaan, Syazwan Andik Ishak bagi musim 2019.
Meskipun baru semalam Pengarah
Sukan JDT, Martin Prest mengeluarkan kenyataan secara terbuka yang menyatakan
mereka berminat mendapatkan khidmat bekas pertahanan Kuala Lumpur itu, namun
urusan perpindahan pemain berkenaan sudah diselesaikan hari ini.
Pengesahan rasmi pemain berusia
22 tahun itu menyertai skuad Harimau Selatan itu diumumkan menerusi satu klip
video pendek di laman sosial Johor Southern Tigers.
Dalam video berdurasi 37 saat
itu, klip terbabit memaparkan kelibat seorang pemain yang mengambil jersi
pasukan itu sebelum menyarungkannya ke badan.
Pemain itu kemudiannya mengikat
kasut bola dan membawa bola sebelum pemain itu didedahkan sebagai Syazwan Andik
dengan kata aluan 'Selamat Kembali'.
Syazwan akan menyertai seorang
lain pemain kebangsaan, Akhyar Rashid yang sebelum ini mengesahkan
perpindahannya dengan kontrak empat tahun dan klausa pelepasan bernilai RM12
juta.
Sebelum ini, Syazwan pernah
beraksi bersama Johor Darul Ta'zim II (JDTII) sebelum membuat keputusan
menyertai Kuala Lumpur pada 2017.
Prestasi konsistennya sejak
bersama The Hawks dan juga membarisi skuad kebangsaan menyaksikan khidmatnya
diburu beberapa pasukan sebelum dia akhirnya membuat keputusan untuk kembali ke
negeri kelahirannya.
Terdahulu, Syazwan bergelar ejen
bebas apabila dia sendiri mengesahkan kontraknya bersama Kuala Lumpur sudahpun
berakhir.
Dia menjelaskan kontraknya
bersama pasukan itu ditamatkan selepas pasukan itu berdepan tunggakan gaji
selama dua bulan bagi November dan Disember.
“Terdapat satu syarat dalam
perjanjian dengan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang membenarkan saya
menamatkan kontrak jika tidak menerima gaji untuk dua bulan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Ahad, 13 January 2019 @ 3:16 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan