Selasa, 29 Disember 2020

Mungkin gantung but awal - Shukur

MyMetroArena



Malik Muhamad

sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Selepas tidak lagi menjadi ahli keluarga pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan, bekas tonggak tengah kebangsaan, Shukur Jusoh tidak menolak kemungkinan akan gantung but biarpun masih mengidam beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Malah pemain yang pernah beraksi bersama pasukan Harimau Muda A, skuad kebangsaan Bawah 21 dan 23 Tahun selain pasukan senior turut membayangkan karier bola sepaknya bakal berakhir lebih awal selepas tidak mendapat sebarang tawaran setakat ini.

"Sukan bola sepak adalah sebahagian dalam hidup saya lebih-lebih lagi sukan ini diminati sejak di bangku sekolah rendah lagi sehinggalah terpilih menyarung jersi negeri dan skuad kebangsaan.

"Namun mungkin segala-galanya bakal tinggal kenangan kerana sehingga kini saya belum mendapat sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat saya musim depan.

"Sekiranya tiada rezeki untuk saya teruskan dalam kerjaya ini mungkin sudah tiba masanya saya mengundur diri biarpun begitu sukar untuk mengungkapkan dengan kata-kata.

"Ini kerana saya belum lagi bersedia untuk gantung but kerana dengan usia 31 tahun, saya masih boleh lagi beraksi di padang dalam saingan kompetitif.

"Tapi jika ada tawaran daripada mana-mana pasukan yang inginkan khidmat saya, saya bersedia berbincang selain akan membatalkan hasrat untuk bersara dalam sukan ini," kata Shukur kepada Sukan NSTP.

Kenangan paling manis pemain itu apabila berjaya membantu pasukan negara merangkul kejuaraan pada pentas Sukan SEA 2011 di Jakarta selepas memusnahkan impian Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas kedudukan masa sebenar terikat 1-1.

Sebelum ini pemain yang pernah menyarung jersi pasukan Selangor, FELDA United, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu FC II (TFC II) itu mengimpikan peluang untuk beraksi buat kali kedua dalam kancah Piala AFC bersama TFC musim depan selepas kali pertama pada 2012.

Namun dengan penyingkiran daripada skuad kendalian Nafuzi Zain itu, impian Shukur untuk membuat penampilan kali kedua dalam pentas Asia bersama penjaga gol, Mohd Shamirza Yusoff yang dikekalkan pengurusan TFC berkecai

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 3:57 PM

Isnin, 28 Disember 2020

Gol 'Da Bom' Syahmi ke Puskas...

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@nstp.com.my

Sepang: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mengemukakan nama pertahanan kanan Harimau Malaya, Syahmi Safari bagi pencalonan Anugerah Puskas FIFA, selepas jaringan menariknya pada minit ke-29 mendapat pujian ramai dan dianggap antara gol tercantik dalam kempen Piala AFF kali ini.

Rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti yang dilakukan Syahmi nyata mengejutkan penyokong Thailand yang sama sekali tidak menyangka percubaan itu tepat menuju ke penjuru atas kanan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, rembatan pemain Selangor itu memang cantik dan pihaknya bersedia untuk menimbangkan gol itu dalam Anugerah Puskas.

"Saya nampak itu (gol Syahmi) yang terbaik dan saya akan bincang dengan bahagian teknikal sama ada jaringan itu perlu atau sesuai untuk kita calonkan nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Sementara itu, Syahmi menyambut baik cadangan Hamidin itu dan mengakui teruja seandainya FAM serius untuk mencalonkan golnya itu.

"Saya rasa ada banyak lagi gol cantik yang dijaringkan sebelum ini oleh pemain lain. Tapi kalau betul, saya tak kisah dan menyambut baik benda itu," kata Syahmi.

Sebelum ini, pemain Pulau Pinang, Faiz Subri menggegar dunia dengan sepakan percuma apabila mencipta kejutan merangkul Anugerah Puskas FIFA 2017.

Perkara itu dilihat tidak mustahil untuk Syahmi muncul pemain kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah itu.

Malah, jaringan itu turut menjadi tular di media sosial selepas pelayar internet menyifatkan jaringan terbabit cukup berkualiti dan berkelas dunia.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 8:50 PM


FAM setuju cadang gol Syahmi

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@nstp.com.my

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mencapai persetujuan untuk mencadangkan gol pemain muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF pada 5 Disember lalu dicalonkan ke Anugerah Puskas FIFA 2019.

Keputusan untuk menghantar cadangan pencalonan itu dibuat selepas mesyuarat peringkat Sekretariat Agung FAM yang turut disertai Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mencapai persetujuan untuk perkara mencalonkan gol itu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, badan induk itu akan menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi mencadangkan gol dijaringkan Syahmi menerusi satu gerakan berpasukan pada minit ke-28 ketika perlawanan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok itu dapat tersenarai sebagai salah satu calon anugerah berkenaan.

"FAM turut akan melampirkan salinan video gol itu untuk dinilai oleh FIFA. Biarpun mengetahui bahawa senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas FIFA 2019 itu nanti akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA.

"Berdasarkan keunikan gol yang terhasil menerusi tujuh hantaran membabitkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan menarik oleh Syahmi, FAM berharap ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon untuk Anugerah Puskas FIFA 2019," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menerusi pendedahan eksklusif Arena Metro Isnin lalu, FAM dilaporkan cukup serius untuk mencalonkan gol sepakan padu Syahmi ke Anugerah Puskas FIFA di Zurich, Switzerland penghujung tahun ini.

Gol umpama peluru berpandu itu sememangnya cukup cantik ditambah dengan beberapa siri hantaran pendek antara pemain negara dengan hanya membabitkan tujuh sentuhan nyata sekali cukup berkualiti dan mampu mencabar ratusan gol lain di seluruh dunia sepanjang tempoh 2018/2019 ini.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini pada 22 Februari 2016 turut menghantar surat cadangan pencalonan kepada FIFA untuk gol dihasilkan bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dan akhirnya membawa kejayaan kepada jaringan menerusi sepakan percuma unik itu muncul pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 5:00 PM

Kontrak Hadi Fayyadh dilanjutkan setahun

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI



PENYERANG muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak mendapat tonik terbaik selepas kontraknya bersama kelab berpangkalan di Jepun, Fagiano Okayama dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi.

Sebagai rekod, bekas pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu telah berkelana dengan kelab yang beraksi pada Divisyen 2 Liga Jepun itu sejak musim 2018.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada selaku penyelaras karier Hadi di Jepun mengesahkan pihak pengurusan Okayama sangat gembira dengan peningkatan prestasi pemain berusia 20 tahun itu.

Saya dimaklumkan pasukan Fagiano Okayama membuat keputusan untuk menyambung kontrak Hadi selepas melihat peningkatan mutu permainan, disiplin dan semangat yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020.

Mereka percaya dengan memberikan peluang untuk dia terus bersama kelab itu akan dapat meningkatkan lagi kemahiran untuk terus memberikan permainan terbaik pada musim akan datang.

Mungkin ada perancangan istimewa buat Hadi bagi tahun 2021 tetapi segalanya masih belum diputuskan,” kata Hamada semalam.

Sementara itu, Hadi Fayadh menyifatkan lanjutan kontrak bersama Fagiano Okayama adalah peluang untuk dia terus menggilap bakat diri serta memperbaiki kelemahan untuk menjadi pemain bola sepak profesional terbaik.

Terima kasih kepada pengurusan kelab atas kepercayaan diberikan dan sentiasa membantu sepanjang dua tahun saya di sini.

Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk meningkatkan potensi diri serta memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE