ARKIB : 16/09/2008
KUALA LUMPUR - Demi pasukan dan
penyokong setia, pemain pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal berjanji akan
bermain bermati- matian malam ini menentang pasukan Safa FC dalam perlawanan
suku akhir pusingan pertama Piala AFC, walaupun pasukannya dilanda masalah
pemberian gaji kepada pemain, lapor FERZALFIE FAUZI.
Menurut pemain kebangsaan itu,
menjelang perlawanan penting malam ini dia dan rakan-rakan sudah bersedia
seratus peratus untuk memberi tentangan kepada pasukan dari Lebanon itu.
''Saya akan melakukan yang
terbaik dan mengharapkan strategi yang dicorakkan oleh jurulatih semasa latihan
sebelum ini menjadi,'' kata Azlan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, dia sudah tidak sabar
untuk beraksi dan mengharapkan berkat bulan Ramadan ini kejayaan bakal
diciptakan oleh para pemain Seladang.
''Kami berada dalam keadaan
bersedia dan apa yang saya lihat persefahaman antara kami juga baik, walaupun
dilanda dengan masalah tunggakan gaji.
''Saya tidak menafikan masalah
tunggakan gaji sedikit mempengaruhi kami, tetapi perjuangan harus diteruskan
demi untuk pasukan dan peminat setia pasukan Seladang,'' kata pemain yang
berasal dari Teluk Intan itu.
Ujarnya, latihan yang
dijalankan setiap malam dan perlawanan persahabatan antara beberapa kelab bola
sepak di Ipoh menjadi ujian terakhir pasukan Perak sebelum beraksi di Stadium
Ipoh malam ini.
''Saya harap
penyokong-penyokong Perak dapat membanjiri stadium malam ini untuk memberikan
sokongan padu dan kami berjanji akan melakarkan kejayaan di halaman sendiri,''
kata Azlan.
Ditanya mengenai hala tujunya
bersama pasukan Perak pada musim depan, Azlan berkata dia masih belum pasti
lagi sama ada kekal atau tidak bersama pasukan Seladang.
''Saya masih belum membuat
keputusan muktamad lagi, setakat ini sudah ada tiga pasukan sudah menyatakan
hasrat untuk mendapatkan khidmat saya,'' katanya.
Sementara itu pasukan Kedah
sudah tiba di Bahrain untuk menentang Muharraq dalam satu lagi perlawanan suku
akhir pusingan pertama Piala AFC yang juga akan berlangsung malam ini.
Sebelum ini belum ada pasukan
dari Malaysia yang berjaya melepasi peringkat suku akhir Piala AFC yang mula
diperkenalkan pada tahun 2004.
Dalam pada itu di IPOH, Kelab
Safa FC berazam mahu membawa pulang bekalan yang mencukupi dalam perlawanan
pertama suku akhir menentang Perak.
Jurulatih Safa FC, Samir Saad
berharap, para pemainnya dapat menggunakan peluang gol dengan sebaik - baiknya.
'' Safa FC mampu mengatasi
Perak jika para pemain tidak mensia-siakan peluang terbaik tersebut,"
jelas Samir.
Jurulatih itu berkeyakinan Safa
FC mampu membawa pulang beberapa gol kerana kelab tersebut akan menurunkan lima
pemain kebangsaan Lebanon pada malam ini.
Safa FC akan menyenaraikan tiga
pertahanan Lebanon seperti Ali Al Saadi, Mohamad Korhani dan Ramez Dayoub.
Selain itu, dua pemain tengah
Lebanon, Khodr Salame dan Amer Khan akan mencorak serangan Safa FC bagi
mendapatkan gol
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50PzypQne
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan