Isnin, 17 Februari 2020

Davies pelaburan terbaik - TMJ

SUKAN»Bola
Isnin, 17 Februari 2020 | 3:25pm
 
PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergambar dengan Pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies secara rasmi menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia selepas sidang media di Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak JDT di Iskandar Puteri. NSTP/Rizar Mohd Noor
Davies pelaburan terbaik - TMJ
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penyertaan Matthew Davies dalam skuad Harimau Selatan sebagai satu pelaburan terbaik.

Ini kerana, katanya, bekas kapten Pahang itu masih muda selain diyakini mampu menguatkan lagi skuad Benjamin Mora mengharungi kempen Liga Malaysia, bermula hujung bulan ini.

"Kami berbesar hati apabila mendapat Matt Davies yang memiliki sikap profesional dan tahu apa yang diinginkan kelab ini. Pastinya kehadirannya akan memantapkan lagi pasukan terutama di benteng," kata Tunku Ismail

Ditanya berhubung nilai perpindahan pemain berusia 25 tahun itu ke JDT, Tunku Ismail enggan mendedahkan dan hanya memaklumkan segala urusan perpindahan itu antara beliau dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

"Ia antara dua pemilik kelab dan itu antara saya dan Tengku Muda Pahang," kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata, kehadiran Davies tidak menjejaskan tempat pemain lain terutama posisi bek kanan kerana Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan agak lama.

Katanya, S Kunanlan juga tetap bersama JDT memandangkan pemain itu memberi sumbangan terbaik namun umurnya semakin meningkatkan menyebabkan JDT perlu melakukan pelaburan awal.

Malah Tunku Ismail mendedahkan betapa kelibat Davies sudah diperhati sejak tiga tahun lalu ketika pemain itu bersama Pahang dan menganggap sudah menimba pengalaman terbaik bersama skuad kendalian Dollah Salleh.

Tambah Tunku Ismail, Davies tampak menunjukkan kematangan selepas beraksi bersama Pahang dan turut mempamerkan aksi terbaik ketika menyertai skuad Harimau Malaya namun pemain itu tidak dapat beraksi untuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini .

Mengenai perancangan musim depan, Tunku Ismail juga mendedahkan akan membawa masuk dua atau tiga pemain baharu bagi membawa cabaran skuad Harimau Selatan.

"Itu perancangan kami musim depan dan kebanyakan pemain tempatan dan mungkin seorang pemain import dan nanti kita akan umumkan jika segala urusan dinoktahkan," katanya.[i]


[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/02/656422/davies-pelaburan-terbaik-tmj

Sabtu, 15 Februari 2020

Demi negara!

MyMetroNode
 
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Demi Harimau Malaya S Kunanlan (gambar) sanggup berkorban apabila terpaksa melupakan sambutan Deepavali minggu depan.

Ini berikutan bek kanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu akan bersama skuad negara mengharungi saingan Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 yang dijadual berlangsung di Stadium Dura berhampiran Hebron, Palestin, 12 November ini.

Masyarakat India di negara ini nanti akan menyambut Deepavali pada 10 November ini.

Namun bagi Kunanlan situasi itu sudah menjadi asam garam sebagai pemain demi memartabatkan bola sepak negara dengan sasaran utama memburu mata dan cuba mengelak daripada kekalahan.

Bagaimanapun, menurutnya, sebelum melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan, dia harus memberi sepenuh komitmen untuk skuad Harimau Selatan menentang Perak pada aksi Kumpulan B di Stadium Perak, malam esok.

“Saya akan melaporkan diri menyertai skuad kebangsaan pada Jumaat ini selepas aksi menentang Perak dan terpaksa melupakan perayaan Deepavali, namun tidak menjadi masalah kerana keutamaan sentiasa skuad kebangsaan.

“Pencapaian menjulang kejuaraan Piala AFC cukup membanggakan malah ia menambahkan lagi keyakinan saya dan beberapa rakan lain dalam skuad Johor DT untuk cuba mempamerkan aksi terbaik apabila berdepan Palestin, nanti.

“Apapun tugasan pertama pasti mahu memburu kemenangan ke atas Perak pada saingan Piala Malaysia walaupun kami sudah layak ke suku akhir. Kami akan berusaha mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan B bagi kelebihan moral,” katanya.

Kelibat Kunanlan pada aksi final Piala AFC cukup berkesan di posisi bek kanan apabila kerap menghalang gerakan berbahaya pemain sayap kiri FC Istiklol selain melakukan larian pantas bagi membantu barisan serangan yang diterajui Safee Sali dan Luciano Figueroa.

Dia juga menegaskan pencapaian Johor DT pada saingan peringkat kelab Asia itu mampu memberi motivasi tinggi kepadanya dan rakan sepasukan skuad Harimau Malaya untuk berdepan Palestin dan menambahkan lagi keyakinan membawa pulang mata daripada perlawanan itu.

“Saya dan beberapa rakan sepasukan seperti Mohd Amri Yahyah, Safee Sali, Safiq Rahim, Izham Tarmizi Roslan dan kemungkinan S Chanturu yang bakal bersama skuad Harimau Malaya akan menggunakan pengalaman pada pentas final Piala AFC untuk membantu skuad kebangsaan.

“Tidak mustahil untuk mencipta kejutan ke atas Palestin nanti. Kami perlu memahirkan diri dengan setiap arahan taktikal dirancang jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pada sesi latihan sebelum ke Hebron,” kata Kunanlan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:25 AM

Johor DT idam Zubir, Farhan


MyMetroNode
 
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru

Kelibat dua pemain kebangsaan, Zubir Azmi dan Nor Farhan Mohammad dikhabarkan ingin dan bersedia berkhidmat bersama Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada musim depan.

Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada Johor DT, pemain bek kiri dan penyerang Terengganu itu dikatakan berada dalam perancangan skuad Harimau Selatan yang dibimbing ketua jurulatih Bojan Hodak.

Selain itu, penjaga gol, Selangor, Farizal Marlias dan S Kunanlan turut diintai Johor DT dalam usaha memantapkan skuad itu menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, persiapan rapi perlu dirancang bagi memantapkan skuad itu dengan membawa masuk beberapa pemain tempatan yang berkualiti.

"Buat masa ini saya enggan ulas lanjut siapa pemain yang akan dibawa masuk sebaliknya akan mengumumkan secara rasmi kelak."

Apapun keempat-empat pemain import iaitu Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz, Marcos Antonio dan Hariss Harun dikekalkan manakala beberapa pemain tempatan akan dibawa masuk termasuk S Chanturu.

"Saya mahu memantapkan posisi serangan, bek kiri dan penjaga gol kerana ketiga-tiga posisi perlu diperkuatkan menghadapi saingan musim baru Liga M dan Piala AFC yang lebih mencabar.

"Kami perlu mendaftar seramai 30 pemain musim depan dan saya mahukan barisan terbaik untuk berusaha mengekalkan kejuaraan Liga Super dan paling utama membawa nama negara mengharungi Piala AFC," katanya.

Andai menjadi kenyataan, Zubir bakal menguatkan posisi bek kiri tatkala skuad Harimau Selatan kini hanya bergantung kepada Asaruddin Putra Omar dan Muhd Fazly Mazlan beraksi di posisi itu.

Difahamkan corak permainan pantas Zubir dan Nor Farhan yang sering mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan Liga M menarik minat Johor DT namun belum ada kata putus.

"Musim depan lebih mencabar dan kami perlu membuat persiapan rapi, malah dengan dibarisi pemain tempatan yang mantap dan pemain import berkualiti, ia beri kekuatan kepada JDT untuk beraksi saingan Liga M dan Piala AFC," kata Tunku Ismail.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:09 AM


Matt Davies ke JDT ?

Sabtu | 15 Februari 2020
MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
APAKAH pemain bek kanan Pahang, Matthew Davies bakal menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Super yang bakal menyingkap tirai 28 Februari ini.

Perkhabaran pemain kebangsaan itu berhijrah ke Harimau Selatan kini hangat diperdebatkan di laman media sosial walaupun di laman rasmi Johor Southern Tigers dan Persatuan Bola sepak Pahang (PBNP) sepi seribu bahasa.

Namun jemputan daripada pihak pengurusan JDT kepada media bagi majlis memperkenalkan pemain baharu juara Liga Super enam musim berturut-turut di Ibu pejabat Kelab Bola sepak JDT di Iskandar Puteri pada Isnin ini bagaikan merungkai spekulasi pemain mana yang akan bersama pasukan itu.

Jika Davies yang akan menyertai skuad Harimau Selatan ia pastinya menarik tatkala JDT turut membantu skuad Tok Gajah apabila meminjamkan Fazly Mazlan dan S Kumaaharan menyertai skuad bimbingan Dollah dan kemungkinan juga ia sebahagian perjanjian antara JDT dan Pahang.

Dikhabarkan keinginan JDT untuk mendapatkan pemain bek kanan tampak begitu memuncak selepas persembahan tidak konsisten S Kunanlan pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada pertembungan menentang Vissel Kobe yang menyaksikan skuad Harimau Selatan tewas 1-5.

Malah ia diperkukuhkan lagi dengan kecederaan yang dialami Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang mungkin memakan masa panjang untuk pulih dan posisi bek kanan ketika ini hanya diisi oleh Kunanlan dan Adam Nor Azlin.

Adam yang beraksi di posisi di bek tengah terpaksa memikul tugas di posisi bek kanan jika diperlukan.

Spekulasi bertambah kukuh tatkala kelibat Davies kemungkinan akan menyertai skuad Harimau Selatan apabila dia tidak kelihatan pada sesi latihan malah tidak diturunkan dalam aksi persahabatan terbaharu skuad Tok Gajah.

Apapun, segala jawapan sama ada Davies atau pemain lain yang akan diumumkan sebagai pemain baharu skuad Harimau Selatan hanya akan ditentukan Isnin ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 2:35 PM