
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Demi Harimau Malaya
S Kunanlan (gambar) sanggup berkorban apabila terpaksa melupakan sambutan
Deepavali minggu depan.
Ini berikutan bek kanan Johor
Darul Ta’zim (Johor DT) itu akan bersama skuad negara mengharungi saingan
Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 yang dijadual
berlangsung di Stadium Dura berhampiran Hebron, Palestin, 12 November ini.
Masyarakat India di negara ini
nanti akan menyambut Deepavali pada 10 November ini.
Namun bagi Kunanlan situasi itu
sudah menjadi asam garam sebagai pemain demi memartabatkan bola sepak negara
dengan sasaran utama memburu mata dan cuba mengelak daripada kekalahan.
Bagaimanapun, menurutnya, sebelum
melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan, dia harus memberi sepenuh
komitmen untuk skuad Harimau Selatan menentang Perak pada aksi Kumpulan B di
Stadium Perak, malam esok.
“Saya akan melaporkan diri
menyertai skuad kebangsaan pada Jumaat ini selepas aksi menentang Perak dan
terpaksa melupakan perayaan Deepavali, namun tidak menjadi masalah kerana
keutamaan sentiasa skuad kebangsaan.
“Pencapaian menjulang kejuaraan
Piala AFC cukup membanggakan malah ia menambahkan lagi keyakinan saya dan
beberapa rakan lain dalam skuad Johor DT untuk cuba mempamerkan aksi terbaik
apabila berdepan Palestin, nanti.
“Apapun tugasan pertama pasti
mahu memburu kemenangan ke atas Perak pada saingan Piala Malaysia walaupun kami
sudah layak ke suku akhir. Kami akan berusaha mengekalkan rekod tanpa kalah
dalam Kumpulan B bagi kelebihan moral,” katanya.
Kelibat Kunanlan pada aksi final
Piala AFC cukup berkesan di posisi bek kanan apabila kerap menghalang gerakan
berbahaya pemain sayap kiri FC Istiklol selain melakukan larian pantas bagi
membantu barisan serangan yang diterajui Safee Sali dan Luciano Figueroa.
Dia juga menegaskan pencapaian
Johor DT pada saingan peringkat kelab Asia itu mampu memberi motivasi tinggi
kepadanya dan rakan sepasukan skuad Harimau Malaya untuk berdepan Palestin dan
menambahkan lagi keyakinan membawa pulang mata daripada perlawanan itu.
“Saya dan beberapa rakan
sepasukan seperti Mohd Amri Yahyah, Safee Sali, Safiq Rahim, Izham Tarmizi
Roslan dan kemungkinan S Chanturu yang bakal bersama skuad Harimau Malaya akan
menggunakan pengalaman pada pentas final Piala AFC untuk membantu skuad
kebangsaan.
“Tidak mustahil untuk mencipta
kejutan ke atas Palestin nanti. Kami perlu memahirkan diri dengan setiap arahan
taktikal dirancang jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pada sesi latihan sebelum ke
Hebron,” kata Kunanlan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 4 November 2015 @ 8:25 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan