MyMetroNode

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyenaraian semula tonggak Kedah, Farhan
Roslan ke dalam skuad akhir 27 pemain yang akan menggalas cabaran Malaysia di
saingan Piala Negara-Negara bermula Jumaat ini, antara kejutan dibuat
pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt semalam.
Farhan yang diketepikan daripada menyertai latihan pusat
sepanjang minggu lalu kerana kecederaan pangkal paha kembali mendapat
kepercayaan Bernhardt selepas pakar fisioterapi mengesahkan pemain tengah itu
sudah pulih sepenuhnya.
Katanya, selain mengumumkan semula kehadiran ‘Messi
Kedah’ itu, beliau turut mengumumkan pengguguran enam pemain daripada senarai
asal 33 pemain dengan pemain Pahang, Shah Amirul mengalami kecederaan lutut.
“Kami ada sedikit kejutan kerana Farhan disahkan pulih
daripada kecederaannya oleh fisio pasukan, manakala Amirul pula mengalami
kecederaan lutut.
“Kami turut menerima laporan Shah tidak dapat beraksi
sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu,” katanya semalam.
Selain Shah, lima lagi pemain yang terpaksa melupakan
hasrat beraksi dalam Piala Negara-Negara ialah R Kogileswaran (Frenz United), N
Thanabalan (Negeri Sembilan), Faizzudin Abidin (Selangor), Arif Fadzilah Abu Bakar
(Terengganu II) serta G Thipenraj (MISC-MIFA).
“Saya menaruh kepercayaan terhadap semua pemain dan saya
lihat mereka mempunyai kualiti yang baik.
“Namun, saya perlu katakan kami sudah mengadakan banyak
latihan pusat dan perlu mengulang semula latihan dari aspek taktikal bagi
membolehkan pemain kembali serasi dengan corak permainan yang diterapkan.
“Objektif kami bagi kejohanan ini ialah untuk menang.
Bagaimanapun, kami perlu pastikan integrasi pemain baharu berjalan lancar bagi
memperoleh gambaran lebih jelas mengenai kesebelasan terbaik,” tambahnya.
Malaysia bakal memulakan kempen kejohanan empat penjuru
yang turut membabitkan Thailand dan Vietnam dengan menentang Singapura di
Stadium Hang Jebat, Melaka, Jumaat ini.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @
9:33 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan