Selasa, 5 Disember 2017

Azlan tolak tepi masalah gaji

ARKIB : 16/09/2008
KUALA LUMPUR - Demi pasukan dan penyokong setia, pemain pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal berjanji akan bermain bermati- matian malam ini menentang pasukan Safa FC dalam perlawanan suku akhir pusingan pertama Piala AFC, walaupun pasukannya dilanda masalah pemberian gaji kepada pemain, lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut pemain kebangsaan itu, menjelang perlawanan penting malam ini dia dan rakan-rakan sudah bersedia seratus peratus untuk memberi tentangan kepada pasukan dari Lebanon itu.

''Saya akan melakukan yang terbaik dan mengharapkan strategi yang dicorakkan oleh jurulatih semasa latihan sebelum ini menjadi,'' kata Azlan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, dia sudah tidak sabar untuk beraksi dan mengharapkan berkat bulan Ramadan ini kejayaan bakal diciptakan oleh para pemain Seladang.

''Kami berada dalam keadaan bersedia dan apa yang saya lihat persefahaman antara kami juga baik, walaupun dilanda dengan masalah tunggakan gaji.

''Saya tidak menafikan masalah tunggakan gaji sedikit mempengaruhi kami, tetapi perjuangan harus diteruskan demi untuk pasukan dan peminat setia pasukan Seladang,'' kata pemain yang berasal dari Teluk Intan itu.

Ujarnya, latihan yang dijalankan setiap malam dan perlawanan persahabatan antara beberapa kelab bola sepak di Ipoh menjadi ujian terakhir pasukan Perak sebelum beraksi di Stadium Ipoh malam ini.

''Saya harap penyokong-penyokong Perak dapat membanjiri stadium malam ini untuk memberikan sokongan padu dan kami berjanji akan melakarkan kejayaan di halaman sendiri,'' kata Azlan.

Ditanya mengenai hala tujunya bersama pasukan Perak pada musim depan, Azlan berkata dia masih belum pasti lagi sama ada kekal atau tidak bersama pasukan Seladang.

''Saya masih belum membuat keputusan muktamad lagi, setakat ini sudah ada tiga pasukan sudah menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat saya,'' katanya.

Sementara itu pasukan Kedah sudah tiba di Bahrain untuk menentang Muharraq dalam satu lagi perlawanan suku akhir pusingan pertama Piala AFC yang juga akan berlangsung malam ini.

Sebelum ini belum ada pasukan dari Malaysia yang berjaya melepasi peringkat suku akhir Piala AFC yang mula diperkenalkan pada tahun 2004.

Dalam pada itu di IPOH, Kelab Safa FC berazam mahu membawa pulang bekalan yang mencukupi dalam perlawanan pertama suku akhir menentang Perak.

Jurulatih Safa FC, Samir Saad berharap, para pemainnya dapat menggunakan peluang gol dengan sebaik - baiknya.

'' Safa FC mampu mengatasi Perak jika para pemain tidak mensia-siakan peluang terbaik tersebut," jelas Samir.

Jurulatih itu berkeyakinan Safa FC mampu membawa pulang beberapa gol kerana kelab tersebut akan menurunkan lima pemain kebangsaan Lebanon pada malam ini.

Safa FC akan menyenaraikan tiga pertahanan Lebanon seperti Ali Al Saadi, Mohamad Korhani dan Ramez Dayoub.

Selain itu, dua pemain tengah Lebanon, Khodr Salame dan Amer Khan akan mencorak serangan Safa FC bagi mendapatkan gol
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0916&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50PzypQne

© Utusan Melayu (M) Bhd

Hardi tangguh hajat tukar pasukan

ARKIB : 14/09/2008
KUALA LUMPUR - Pemain tengah berbakat negara, Hardi Jaafar terpaksa menangguhkan hasrat untuk bertukar pasukan Liga Malaysia musim depan demi memberi tumpuan kepada cabaran Perak dalam suku akhir pertama bola sepak Piala AFC di Ipoh, Selasa ini.

Katanya, masalah juga perlu diketepikan buat sementara sekalipun ia mungkin mendorongnya mencari haluan baru apatah lagi dengan beberapa pasukan di Lembah Klang mulai mengemukakan tawaran mereka kepadanya.

''Kontrak saya dengan Perak ada semusim lagi tetapi sukar hendak cakap sama ada mahu kekal atau berhijrah dengan keadaan sekarang tetapi saya cuba fokus Piala AFC (menentang Safa SC dari Lebanon di Stadium Perak).

"Mungkin selepas sejauh mana cabaran Perak dalam Piala AFC nanti, barulah saya buat keputusan," katanya.

Hardi dan rakan senegeri, S. Subramaniam dikecualikan daripada skuad negara yang mengunjungi Slovakia untuk siri perlawanan persahabatan dari Selasa hingga 26 September ini.

Hardi, 29, yang kali terakhir mewakili skuad negara pada perlawanan persahabatan menentang Chelsea di Shah Alam, 29 Julai lalu, bagaimanapun enggan menamakan pasukan Liga M yang berminat dan telah menghubungi untuk mendapatkan khidmatnya bagi musim baru mulai Januari ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz50OSXPcjn

© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 27 Oktober 2017

The Cops lawan terakhir Nanthakumar

Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
 
Melaka: Bekas pemain kebangsaan yang kini kapten MISC-MIFA, K Nanthakumar (gambar) akan bersara selepas aksi terakhirnya bersama pasukan itu berdepan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Pemain yang memiliki pengalaman luas di kancah Liga Malaysia yang juga bekas pemain MPPJ, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan itu berkata, kelibatnya sebagai pemain akan diakhiri selepas perlawanan itu.

Baginya, usia 40 tahun menjadi penamat karier bola sepaknya sebagai pemain pertahanan dan tengah dengan berhasrat menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan sepenuh masa musim depan.

“Musim 2018 saya tetap berada dalam Liga Malaysia sebagai jurulatih bukan pemain. Namun saya belum pasti melatih pasukan mana. Mungkin bermula di peringkat bawah dulu atau skuad Piala Belia atau Presiden.

“Banyak kenangan saya sebagai pemain yang tidak akan saya lupakan antaranya menjuarai Piala FAM bersama pasukan ini musim lalu. Selain juara Piala Malaysia serta pelbagai kejuaraan termasuk ketika bersama The Bos Gaurus, MPPJ, The Red Warriors, The Red Giants dan skuad ‘Hobin Jang Hobin,” kata anak kelahiran Perak itu.

Nanthakumar yang mewakili Malaysia dari 2002-2007 juga berazam untuk membantu pasukannya kekal di Liga Perdana sebelum bersara.

Menurutnya, keutamaan adalah menewaskan The Cops sambil membuka semula peluang untuk kekal di Liga Perdana 2018 kerana kekalahan akan menyaksikan MISC–MIFA tersingkir ke Liga FAM.

“Namun jika menang, kami juga perlu menanti keputusan perlawanan membabitkan Perlis dan ATM yang juga pesaing terdekat buat pasukan kami bagi mengelak berada di kedudukan kedua terbawah liga.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 9:12 AM

Isnin, 5 Jun 2017

Selangor boleh lupakan Chan Yew



ARKIB : 10/10/2005

KUALA LUMPUR - Selangor boleh melupakan hasrat mendapatkan pemain yang pernah berlatih di kelab Bahagian Dua England, Lim Chan Yew untuk memperkuatkan bentengnya bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia yang bermula 3 Disember ini.

Bekas benteng Public Bank dan skuad kebangsaan itu semalam mengumumkan penyertaannya bersama MPPJ sekali gus mengakhiri usaha Gergasi Merah untuk menampung kelemahan barisan belakangnya dengan khidmat seorang pemain tempatan.

Chan Yew yang pernah menjalani ujian pendedahan bersama kelab Bahagian Dua England, AFC Bournemouth pada Julai lalu, berkata, MPPJ menjadi pilihannya kerana tawaran bekas juara Piala Malaysia 2003 itu lebih baik dan lebih cepat dikemukakan.

``Mungkin juga sudah rezeki saya dengan MPPJ biarpun Selangor ada cuba tawarkan tempat, bulan lalu,'' katanya yang kini baru pulih daripada menjalani satu pembedahan sebelum kembali aktif, bulan depan.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur dan berusia 27 tahun ini, terpaksa mencari pasukan baru ekoran penarikan diri secara mengejut Public Bank, naib juara Liga Super 2004 daripada Liga Perdana, musim depan.

Public Bank telah diturunkan ke Liga Perdana setelah menduduki tempat kedua tercorot Liga Super pada musim ini manakala MPPJ sekadar di tempat kelima dan tidak begitu menyerlah dalam Piala Malaysia setelah berada di tangga ketiga Kumpulan C.

Selangor sebelum ini berura-ura mendapatkan sama ada benteng tempatan mahupun import sejak bahagian tersebut dikritik sebagai elemen paling lemah sepanjang Liga Malaysia malah gagal ditampung oleh seorang pemain dari Australia, Badui Farah.

Chan Yew pernah bergandingan bersama Ahmad Tharmini Saiban yang cemerlang membantu Selangor menjulang Piala Malaysia, ketika beraksi pada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi, April lalu di mana Malaysia mara ke suku akhir.

Mengenai peluangnya untuk mencipta sejarah sebagai pemain pertama negara beraksi dalam Liga England itu, katanya, tiada sebarang khabar terbaru diterimanya lagi daripada pihak pengurusan kelab mahupun TWOBD Events yang bekerjasama menghantarnya.

Ketika menjalani pendedahan di sana, kelab berkenaan dikatakan memang memerlukan seorang atau dua pemain pertahanan kiri apatah lagi dengan dua pemain tetap mereka masih tercedera.

Chan Yew turut diuji di pelbagai posisi seperti sayap kiri, sayap kanan dan bek kiri ketika mengharungi empat perlawanan persahabatan seperti menentang Southampton (Bahagian Satu) dan Portsmouth (Liga Perdana).

Beliau dipilih menjalani latihan di Bournemouth pada Mac lalu dengan dua lagi pemain kebangsaan, Fadzli Shaari (Pahang) dan Syamsuri Mustafa (Terengganu) tetapi hanya pemain Public Bank itu yang dipanggil mengikuti ujian susulan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4j7ExeWQp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 5 Mei 2017

Hasmawi dapat tawaran Perlis

ARKIB : 25/12/2004
Oleh YUSRI SAHADI sebalik kontroversi yang dicetuskan oleh penyerang Kedah, Hasmawi Hassan, Perlis melahirkan minat untuk mendapatkan khidmat pemain itu jika Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kekal dengan keputusan menamatkan kontraknya musim depan. Minat itu disuarakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Abdul Jamil Saad yang bersimpati dengan nasib pemain lincah itu.
Bagaimanapun, kata beliau, PFA belum berbincang dengan pemain itu.
``Kita hanya menyuarakan minat tetapi ia terpulang kepada Hasmawi. Pintu kami sentiasa terbuka,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Kangar semalam.
Sabtu lalu, Hasmawi, 23, mencetuskan kontroversi apabila membatalkan pernikahan dengan seorang jururawat Norlida Abdul Rahman, 23, di Kluang pada saat-saat akhir.
Berikutan tindakannya itu, Naib Presiden KFA, Datuk Chong Itt Chew berkata, persatuan tersebut akan menamatkan kontraknya kerana menyifatkan perbuatannya memalukan.
Abdul Jamil berkata, kontroversi yang dicetuskan oleh Hasmawi adalah bersifat peribadi dan tidak ada kaitan dengan kariernya sebagai pemain bola sepak.
Sehingga kini, tegas beliau, pihaknya tidak mendengar sebarang masalah disiplin yang dicetuskan oleh pemain itu sama ada ketika bersama Pulau Pinang atau Kedah.
Abdul Jamil memberitahu, Perlis mungkin mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim bagi menggantikan tempat Norizan Bakar yang berhijrah ke Pulau Pinang musim depan.
Namun perkara itu hanya boleh diputuskan sendiri oleh Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Isnin, 27 Mac 2017

Hasmawi akan diuji sebagai pengemudi bahagian tengah

ARKIB : 07/02/2003
KELIBAT ayam tambatan Pulau Pinang, Hasmawi Hassan yang diletakkan sebagai pengemudi di bahagian tengah pada musim ini akan teruji sepenuhnya pada pertembungan pembuka tirai menentang juara Piala Malaysia, Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Batu Kawan, Ahad ini, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM

Walaupun sudah serasi dengan posisi lamanya sebagai penggempur sejak dua tahun lalu, perubahan angin itu juga dilihat sebagai strategi sulit Pulau Pinang untuk menundukkan jaguh Lembah Klang itu.

``Perubahan itu sebenarnya biasa dalam mana-mana pasukan dengan tujuan memantap dan mengukuhkan lagi bahagian-bahagian yang difikirkan perlu.

``Tapi sekiranya ia dilihat sebagai strategi terserah kepada tafsiran'' kata jurulatih Pulau Pinang, Irfan Bakti semalam.

Perubahan posisi pemain yang akan menyambut hari jadinya yang ke-23, Ogos ini juga mampu mempelbagaikan kemahiran dan pengalaman pelatih skuad kebangsaan itu.

``Saya merasakan dia (Hasmawi) mampu memikul tanggungjawab di posisi itu kerana sebelum ini dia pernah bermain ditengah.

``Walaupun gandingannya dengan rakan lain belum begitu mantap namun dengan kesungguhan dan kerja keras saya yakin Hasmawi boleh buat,'' ujarnya.

Selain Hasmawi turut mengisi slot di tengah ialah R. Sureshkumar, Nordin Khamis, Ng Kok Heng dan Chow Chee Weng.

Perubahan itu dilakukan berikutan penampilan bekas penyerang Terengganu, Wan Rohaimi Wan Ismail dalam skuad Pulau Mutiara yang akan digandingkan dengan Gustavo Alberto Romero juga memberi banyak ruang kepada Irfan mengisi kekosongan jika berlaku kecederaan.

``Saya akan bekerja keras untuk memainkan peranan yang diberikan oleh jurulatih, walaupun baru dua bulan digandingkan dengan rakan di bahagian tengah namun saya merasakan sudah ada keserasian dengan mereka.

``Pengalaman di bahagian itu ketika mula menyertai Pulau Pinang di bawah kendalian Moey Yok Ham pada tahun 1999 juga banyak membantu,'' kata Hasmawi ketika dihubungi.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cWV4zUZI

© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 26 Mac 2017

Cabaran baru bagi Tengku Hazman



ARKIB : 12/01/2003
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
KAPTEN pasukan kebangsaan dalam kempen bola sepak Piala Tiger 2002 di Singapura dan Indonesia, Tengku Hazman Raja Hassan menyifatkan penyertaannya dalam skuad Perlis musim ini sebagai cabaran baru yang bakal ditempuhi dalam Liga Malaysia yang akan bermula 9 Februari ini.

Tengku Hazman, 26, yang dipilih oleh ketua jurulatih Allan Harris kali pertama memimpin skuad negara berkata, penyertaannya dalam skuad Singa Utara merupakan usaha beliau untuk mencipta pengalaman baru.

``Saya akan gunakan pengalaman yang ada pada diri saya untuk membantu Perlis mencipta kejayaan untuk Liga Malaysia musim ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis menandatangani kontrak pemain bola sepak skuad Perlis tahun 2003 di Kuala Perlis, kelmarin.

Selain beraksi untuk skuad gergasi `Merah Kuning' selama dua musim, Tengku Hazman pernah bermain untuk Kelantan dan Pahang pada awal kariernya.

Beliau berkata, perkenalan dengan jurulatih skuad senior kebangsaan, Norizan Bakar yang kini bertindak sebagai jurulatih Perlis banyak memberi dorongan kepada beliau untuk bermain mewakili Perlis.

``Ajakan daripada Norizan Bakar menarik minat saya untuk mencuba nasib di Perlis musim ini,'' katanya.

Tengku Hazman turut mengharapkan kerjasama daripada pemain-pemain skuad Singa Utara bagi membantu beliau menyesuaikan diri dengan corak permainan negeri itu.

Beliau juga mempunyai pengalaman bermain bersama-sama pemain pertahanan skuad itu, Mohd. Khaironnisam Sahabudin Hussain yang turut mewakili Perlis.

Selain itu kata beliau, kehadiran penyerang import dari Zambia, Phillimon Chiepieta, 22, dalam skuad Perlis mampu memberi cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia tidak lama lagi.

``Sasaran saya ialah mencipta kejayaan bersama skuad baru dari utara musim ini, seperti mana saranan Presiden Persatuan Bolasepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim iaitu untuk mencapai yang terbaik dalam kejohanan kali ini,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4cV1zZy8Q
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 25 Mac 2017

Hasmawi sah jadi milik Negeri Sembilan



ARKIB : 28/11/2002
PENYERANG Pulau Pinang, Hasmawi Hassan kini sah menjadi milik Negeri Sembilan musim depan selepas dia menandatangani perjanjian dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) baru-baru ini, kata setiausaha persatuan itu, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

``Hasmawi menandatangani kontrak untuk bermain dengan pasukan Negeri Sembilan selama setahun,'' katanya di Seremban sebagai mengulas laporan sebuah akhbar harian semalam bahawa pemain itu akan kekal bersama Pulau Pinang untuk musim depan.

Akhbar itu memetik Setiausaha Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Junid Mohd. Noor sebagai berkata, desas desus Hasmawi akan ke negeri asalnya Perlis terpadam apabila dia menandatangani surat perjanjian yang ditawarkan oleh FAP.

Abdullah Sani yang berang dengan laporan itu berkata, PBNS akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk undang-undang, jika laporan akhbar itu benar.

Beliau berkata jika laporan akhbar itu benar, itu bermakna Hasmawi telah melanggari perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini.

Katanya, PBNS akan merujuk kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM sebelum mengambil tindakan lanjut. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cPAmoCUJ
© Utusan Melayu (M) Bhd