Selasa, 29 Disember 2020

Mungkin gantung but awal - Shukur

MyMetroArena



Malik Muhamad

sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Selepas tidak lagi menjadi ahli keluarga pasukan Terengganu FC (TFC) musim depan, bekas tonggak tengah kebangsaan, Shukur Jusoh tidak menolak kemungkinan akan gantung but biarpun masih mengidam beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Malah pemain yang pernah beraksi bersama pasukan Harimau Muda A, skuad kebangsaan Bawah 21 dan 23 Tahun selain pasukan senior turut membayangkan karier bola sepaknya bakal berakhir lebih awal selepas tidak mendapat sebarang tawaran setakat ini.

"Sukan bola sepak adalah sebahagian dalam hidup saya lebih-lebih lagi sukan ini diminati sejak di bangku sekolah rendah lagi sehinggalah terpilih menyarung jersi negeri dan skuad kebangsaan.

"Namun mungkin segala-galanya bakal tinggal kenangan kerana sehingga kini saya belum mendapat sebarang tawaran daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat saya musim depan.

"Sekiranya tiada rezeki untuk saya teruskan dalam kerjaya ini mungkin sudah tiba masanya saya mengundur diri biarpun begitu sukar untuk mengungkapkan dengan kata-kata.

"Ini kerana saya belum lagi bersedia untuk gantung but kerana dengan usia 31 tahun, saya masih boleh lagi beraksi di padang dalam saingan kompetitif.

"Tapi jika ada tawaran daripada mana-mana pasukan yang inginkan khidmat saya, saya bersedia berbincang selain akan membatalkan hasrat untuk bersara dalam sukan ini," kata Shukur kepada Sukan NSTP.

Kenangan paling manis pemain itu apabila berjaya membantu pasukan negara merangkul kejuaraan pada pentas Sukan SEA 2011 di Jakarta selepas memusnahkan impian Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas kedudukan masa sebenar terikat 1-1.

Sebelum ini pemain yang pernah menyarung jersi pasukan Selangor, FELDA United, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Terengganu FC II (TFC II) itu mengimpikan peluang untuk beraksi buat kali kedua dalam kancah Piala AFC bersama TFC musim depan selepas kali pertama pada 2012.

Namun dengan penyingkiran daripada skuad kendalian Nafuzi Zain itu, impian Shukur untuk membuat penampilan kali kedua dalam pentas Asia bersama penjaga gol, Mohd Shamirza Yusoff yang dikekalkan pengurusan TFC berkecai

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 3:57 PM

Isnin, 28 Disember 2020

Gol 'Da Bom' Syahmi ke Puskas...

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@nstp.com.my

Sepang: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk mengemukakan nama pertahanan kanan Harimau Malaya, Syahmi Safari bagi pencalonan Anugerah Puskas FIFA, selepas jaringan menariknya pada minit ke-29 mendapat pujian ramai dan dianggap antara gol tercantik dalam kempen Piala AFF kali ini.

Rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti yang dilakukan Syahmi nyata mengejutkan penyokong Thailand yang sama sekali tidak menyangka percubaan itu tepat menuju ke penjuru atas kanan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, rembatan pemain Selangor itu memang cantik dan pihaknya bersedia untuk menimbangkan gol itu dalam Anugerah Puskas.

"Saya nampak itu (gol Syahmi) yang terbaik dan saya akan bincang dengan bahagian teknikal sama ada jaringan itu perlu atau sesuai untuk kita calonkan nanti," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Sementara itu, Syahmi menyambut baik cadangan Hamidin itu dan mengakui teruja seandainya FAM serius untuk mencalonkan golnya itu.

"Saya rasa ada banyak lagi gol cantik yang dijaringkan sebelum ini oleh pemain lain. Tapi kalau betul, saya tak kisah dan menyambut baik benda itu," kata Syahmi.

Sebelum ini, pemain Pulau Pinang, Faiz Subri menggegar dunia dengan sepakan percuma apabila mencipta kejutan merangkul Anugerah Puskas FIFA 2017.

Perkara itu dilihat tidak mustahil untuk Syahmi muncul pemain kedua dari Malaysia yang memenangi anugerah itu.

Malah, jaringan itu turut menjadi tular di media sosial selepas pelayar internet menyifatkan jaringan terbabit cukup berkualiti dan berkelas dunia.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 8:50 PM


FAM setuju cadang gol Syahmi

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@nstp.com.my

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mencapai persetujuan untuk mencadangkan gol pemain muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF pada 5 Disember lalu dicalonkan ke Anugerah Puskas FIFA 2019.

Keputusan untuk menghantar cadangan pencalonan itu dibuat selepas mesyuarat peringkat Sekretariat Agung FAM yang turut disertai Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mencapai persetujuan untuk perkara mencalonkan gol itu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, badan induk itu akan menghantar surat rasmi kepada FIFA bagi mencadangkan gol dijaringkan Syahmi menerusi satu gerakan berpasukan pada minit ke-28 ketika perlawanan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok itu dapat tersenarai sebagai salah satu calon anugerah berkenaan.

"FAM turut akan melampirkan salinan video gol itu untuk dinilai oleh FIFA. Biarpun mengetahui bahawa senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas FIFA 2019 itu nanti akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan pencalonan tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA.

"Berdasarkan keunikan gol yang terhasil menerusi tujuh hantaran membabitkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan menarik oleh Syahmi, FAM berharap ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon untuk Anugerah Puskas FIFA 2019," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Menerusi pendedahan eksklusif Arena Metro Isnin lalu, FAM dilaporkan cukup serius untuk mencalonkan gol sepakan padu Syahmi ke Anugerah Puskas FIFA di Zurich, Switzerland penghujung tahun ini.

Gol umpama peluru berpandu itu sememangnya cukup cantik ditambah dengan beberapa siri hantaran pendek antara pemain negara dengan hanya membabitkan tujuh sentuhan nyata sekali cukup berkualiti dan mampu mencabar ratusan gol lain di seluruh dunia sepanjang tempoh 2018/2019 ini.

Sebagai rekod, FAM sebelum ini pada 22 Februari 2016 turut menghantar surat cadangan pencalonan kepada FIFA untuk gol dihasilkan bekas pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dan akhirnya membawa kejayaan kepada jaringan menerusi sepakan percuma unik itu muncul pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 5:00 PM

Kontrak Hadi Fayyadh dilanjutkan setahun

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI



PENYERANG muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak mendapat tonik terbaik selepas kontraknya bersama kelab berpangkalan di Jepun, Fagiano Okayama dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi.

Sebagai rekod, bekas pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu telah berkelana dengan kelab yang beraksi pada Divisyen 2 Liga Jepun itu sejak musim 2018.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada selaku penyelaras karier Hadi di Jepun mengesahkan pihak pengurusan Okayama sangat gembira dengan peningkatan prestasi pemain berusia 20 tahun itu.

Saya dimaklumkan pasukan Fagiano Okayama membuat keputusan untuk menyambung kontrak Hadi selepas melihat peningkatan mutu permainan, disiplin dan semangat yang ditunjukkan sepanjang tahun 2020.

Mereka percaya dengan memberikan peluang untuk dia terus bersama kelab itu akan dapat meningkatkan lagi kemahiran untuk terus memberikan permainan terbaik pada musim akan datang.

Mungkin ada perancangan istimewa buat Hadi bagi tahun 2021 tetapi segalanya masih belum diputuskan,” kata Hamada semalam.

Sementara itu, Hadi Fayadh menyifatkan lanjutan kontrak bersama Fagiano Okayama adalah peluang untuk dia terus menggilap bakat diri serta memperbaiki kelemahan untuk menjadi pemain bola sepak profesional terbaik.

Terima kasih kepada pengurusan kelab atas kepercayaan diberikan dan sentiasa membantu sepanjang dua tahun saya di sini.

Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk meningkatkan potensi diri serta memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

Rabu, 26 Ogos 2020

Hadi Fayyadh mula tunjuk taring di Jepun

 SUKAN»Bola

Rabu, 26 Ogos 2020 | 11:15pm

 Muhammad Hadi Fayyadh dalam satu aksi menentang pasukan Filipina di Stadium Shah Alam, baru-baru ini. - Foto NSTP/Sairien Nafis

Muhammad Hadi Fayyadh dalam satu aksi menentang pasukan Filipina di Stadium Shah Alam, baru-baru ini. - Foto NSTP/Sairien Nafis

Muhammad Hadi Fayyadh dalam satu aksi menentang pasukan Filipina di Stadium Shah Alam, baru-baru ini. - Foto NSTP/Sairien Nafis

Hadi Fayyadh mula tunjuk taring di Jepun

Oleh Syafiq Aznan

syafiq.aznan@bh.com.my


KUALA LUMPUR: Penyerang tinggi lampai, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak tampak mula menuai hasil 'perguruan' di Jepun apabila meledak hatrik dalam perlawanan latihan menentang skuad Bawah 18 tahun (B-18) Fagiano Okayama, baru baru ini.


Penyerang yang beraksi bersama skuad utama Fagiano Okayama itu turut melakukan satu hantaran gol sekali gus menyaksikan prestasinya semakin meningkat jika hendak dibandingkan pada tahun lalu.


Malah, dia turut mendapat kepercayaan jurulatih pasukan apabila beraksi penuh pada perlawanan terbabit dengan hatriknya membantu pasukan senior membelasah barisan pemain muda Fagiano Okayama dengan keputusan 5-0.


Individu yang bertanggungjawab membawa Hadi ke Jepun iaitu Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada berkongsi perkembangan itu dan menekankan masa yang diambil Hadi untuk mempamerkan prestasinya adalah proses normal di negara itu.


"Untuk pemain baru yang memasuki Liga Jepun (Liga J) musim ini, 56 peratus adalah graduan baru universiti, 30 peratus graduan akademi bola sepak liga dan 14 peratus adalah graduan baru daripada sekolah menengah.


"Semua mereka akan mengambil beberapa tahun menjalani latihan bersama sesuatu pasukan kelab. Ini adalah proses biasa di Jepun.


'Begitu juga proses yang sedang dialami oleh Hadi di sini. Barisan kejurulatihan kelab sedang memantau dan memastikan prestasinya meningkat memandangkan dia mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain yang baik pada masa depan," kata Hamada.


Dalam masa sama, Hamada juga berharap rakyat Malaysia terus bersabar menanti keputusan terbaik buat mana-mana pemain yang berkelana ke luar negara sama ada Hadi di Jepun mahupun Luqman Hakim Shamsudin yang berkelana ke Belgium.


"Kita perlu menanti dengan penuh sabar. Beri mereka masa, beberapa tahun. Kita tidak boleh mengharapkan mereka diberi peluang berada dalam kesebelasan utama pasukan dalam tempoh yang singkat," katanya.SUMBER BH ONLINE

Isnin, 24 Ogos 2020

Nik Akif masih mahu berbakti dengan pasukan Kelantan

 SUKAN

NIK Akif (kanan) tetap memberikan aksi 100 peratus di atas padang meskipun pasukan Kelantan dilanda masalah tunggakan gaji selama empat bulan.

Nik Akif masih mahu berbakti dengan pasukan Kelantan

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

22 Ogos 2020, 10:17 pm


PEMAIN tengah sensasi Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat mengakui masih sayang dan ingin terus berbakti buat pasukan negeri kelahirannya itu selepas berjaya membantu The Red Warriors meraih kemenangan 5-1 ke atas kelab Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) semalam.


Kata Nik Akif, kemelut yang membelenggu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sehingga gagal melunaskan tunggakan gaji tidak pernah melunturkan semangatnya untuk memberikan aksi 100 peratus di padang.


“Saya ada baca laporan media mengenai kesediaan KAFA untuk menjual saya tetapi secara jujur, saya tidak mengambil kisah atau tertekan dengan situasi tersebut.


“Secara jujur, saya masih sayangkan pasukan Kelantan dan cukup fokus untuk mengharungi baki saingan musim ini. Jika boleh saya mahu terus berbakti memandangkan kontrak saya tamat pada 2021,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.


Pada aksi di Stadium MP Selayang semalam, Nik Akif mempamerkan aksi yang cukup dominan bersama Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di bahagian tengah untuk memastikan skuad kendalian Yusry Che Lah itu meraih tiga mata penuh.


Mengulas lanjut, pemain berusia 21 tahun itu turut berharap masalah tunggakan gaji pasukan Kelantan dapat diselesaikan dengan kehadiran pemilik baharu nanti.

SUMBER-KOSMO ONLINE


Khamis, 30 April 2020

Kelibat Rosdi hantui Khyril Muhymeen


SUKAN»Bola
Rabu, 29 April 2020 | 11:19pm
Rosdi Talib (kiri) ketika beraksi menentang pasukan China pada Piala Asia 2007. Foto - Getty Images
Rosdi Talib (kiri) ketika beraksi menentang pasukan China pada Piala Asia 2007. Foto - Getty Images
Kelibat Rosdi hantui Khyril Muhymeen
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemain sayap berpengalaman, Khyril Muhymeen Zambri mengakui Rosdi Talib sebagai pertahanan kiri yang paling 'keras' pernah dihadapinya sepanjang beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Pemain sayap Selangor itu menyifatkan bekas pemain kebangsaan itu sebagai seorang pemain yang bertenaga dan bijak mengenal pasti kekuatan serta kelemahan lawan.

Baginya, pengalaman ketika berdepan Rosdi yang ketika itu mewakili Pahang serta T-Team sebagai sesuatu yang berharga untuk meningkatkan lagi kualitinya sebagai pemain sayap kanan.

"Ketika di awal karier bersama Kedah, Rosdi pasti memberi kesukaran kepada saya untuk mengatasi kawalannya setiap kali bertembung dengannya.

"Dia tahu bagaimana hendak masuk melakukan asakan yang betul serta bijak dalam memberikan tekanan kepada pemain lawan.

"Walaupun saya bertemu Rosdi ketika penghujung karier, dia masih antara pertahanan kiri terbaik yang saya pernah hadapi serta menjadi pengalaman paling berharga kerana dapat bertemu pemain sepertinya," katanya.

Selain kualitinya selaku pertahanan kiri, Rosdi juga mempunyai kemahiran yang baik dalam melakukan sepakan percuma jarak jauh.

Rosdi menjadi antara pemain dalam Pilihan Kesebelasan Utama Terbaik Khyril dengan bekas pemain import Kedah pada 2004 hingga 2008, Cornelius Bernard Huggins dan bekas pemain kebangsaan Norhafiz Zamani serta S Kunanlan melengkapkan barisan pertahanan.

Penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias menjadi pilihan Khyril manakala Ashari Samsudin mengisi bahagian sayap kiri diikuti Baddrol Bakhtiar di sebelah kanan dan bahagian tengah dikemudi Nelson Sam Martin serta Safiq Rahim.

Dua penyerang menjadi pilihan Khyril ialah dua bekas peledak Kedah, Marlon Alex James dan Akmal Rizal Rakhli.[1]




[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/04/683272/kelibat-rosdi-hantui-khyril-muhymeen

Isnin, 17 Februari 2020

Davies pelaburan terbaik - TMJ

SUKAN»Bola
Isnin, 17 Februari 2020 | 3:25pm
 
PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergambar dengan Pemain pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies secara rasmi menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia selepas sidang media di Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak JDT di Iskandar Puteri. NSTP/Rizar Mohd Noor
Davies pelaburan terbaik - TMJ
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penyertaan Matthew Davies dalam skuad Harimau Selatan sebagai satu pelaburan terbaik.

Ini kerana, katanya, bekas kapten Pahang itu masih muda selain diyakini mampu menguatkan lagi skuad Benjamin Mora mengharungi kempen Liga Malaysia, bermula hujung bulan ini.

"Kami berbesar hati apabila mendapat Matt Davies yang memiliki sikap profesional dan tahu apa yang diinginkan kelab ini. Pastinya kehadirannya akan memantapkan lagi pasukan terutama di benteng," kata Tunku Ismail

Ditanya berhubung nilai perpindahan pemain berusia 25 tahun itu ke JDT, Tunku Ismail enggan mendedahkan dan hanya memaklumkan segala urusan perpindahan itu antara beliau dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

"Ia antara dua pemilik kelab dan itu antara saya dan Tengku Muda Pahang," kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata, kehadiran Davies tidak menjejaskan tempat pemain lain terutama posisi bek kanan kerana Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan agak lama.

Katanya, S Kunanlan juga tetap bersama JDT memandangkan pemain itu memberi sumbangan terbaik namun umurnya semakin meningkatkan menyebabkan JDT perlu melakukan pelaburan awal.

Malah Tunku Ismail mendedahkan betapa kelibat Davies sudah diperhati sejak tiga tahun lalu ketika pemain itu bersama Pahang dan menganggap sudah menimba pengalaman terbaik bersama skuad kendalian Dollah Salleh.

Tambah Tunku Ismail, Davies tampak menunjukkan kematangan selepas beraksi bersama Pahang dan turut mempamerkan aksi terbaik ketika menyertai skuad Harimau Malaya namun pemain itu tidak dapat beraksi untuk saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini .

Mengenai perancangan musim depan, Tunku Ismail juga mendedahkan akan membawa masuk dua atau tiga pemain baharu bagi membawa cabaran skuad Harimau Selatan.

"Itu perancangan kami musim depan dan kebanyakan pemain tempatan dan mungkin seorang pemain import dan nanti kita akan umumkan jika segala urusan dinoktahkan," katanya.[i]


[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2020/02/656422/davies-pelaburan-terbaik-tmj

Sabtu, 15 Februari 2020

Demi negara!

MyMetroNode
 
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Demi Harimau Malaya S Kunanlan (gambar) sanggup berkorban apabila terpaksa melupakan sambutan Deepavali minggu depan.

Ini berikutan bek kanan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu akan bersama skuad negara mengharungi saingan Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 yang dijadual berlangsung di Stadium Dura berhampiran Hebron, Palestin, 12 November ini.

Masyarakat India di negara ini nanti akan menyambut Deepavali pada 10 November ini.

Namun bagi Kunanlan situasi itu sudah menjadi asam garam sebagai pemain demi memartabatkan bola sepak negara dengan sasaran utama memburu mata dan cuba mengelak daripada kekalahan.

Bagaimanapun, menurutnya, sebelum melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan, dia harus memberi sepenuh komitmen untuk skuad Harimau Selatan menentang Perak pada aksi Kumpulan B di Stadium Perak, malam esok.

“Saya akan melaporkan diri menyertai skuad kebangsaan pada Jumaat ini selepas aksi menentang Perak dan terpaksa melupakan perayaan Deepavali, namun tidak menjadi masalah kerana keutamaan sentiasa skuad kebangsaan.

“Pencapaian menjulang kejuaraan Piala AFC cukup membanggakan malah ia menambahkan lagi keyakinan saya dan beberapa rakan lain dalam skuad Johor DT untuk cuba mempamerkan aksi terbaik apabila berdepan Palestin, nanti.

“Apapun tugasan pertama pasti mahu memburu kemenangan ke atas Perak pada saingan Piala Malaysia walaupun kami sudah layak ke suku akhir. Kami akan berusaha mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan B bagi kelebihan moral,” katanya.

Kelibat Kunanlan pada aksi final Piala AFC cukup berkesan di posisi bek kanan apabila kerap menghalang gerakan berbahaya pemain sayap kiri FC Istiklol selain melakukan larian pantas bagi membantu barisan serangan yang diterajui Safee Sali dan Luciano Figueroa.

Dia juga menegaskan pencapaian Johor DT pada saingan peringkat kelab Asia itu mampu memberi motivasi tinggi kepadanya dan rakan sepasukan skuad Harimau Malaya untuk berdepan Palestin dan menambahkan lagi keyakinan membawa pulang mata daripada perlawanan itu.

“Saya dan beberapa rakan sepasukan seperti Mohd Amri Yahyah, Safee Sali, Safiq Rahim, Izham Tarmizi Roslan dan kemungkinan S Chanturu yang bakal bersama skuad Harimau Malaya akan menggunakan pengalaman pada pentas final Piala AFC untuk membantu skuad kebangsaan.

“Tidak mustahil untuk mencipta kejutan ke atas Palestin nanti. Kami perlu memahirkan diri dengan setiap arahan taktikal dirancang jurulatih, Datuk Ong Kim Swee pada sesi latihan sebelum ke Hebron,” kata Kunanlan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:25 AM

Johor DT idam Zubir, Farhan


MyMetroNode
 
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru

Kelibat dua pemain kebangsaan, Zubir Azmi dan Nor Farhan Mohammad dikhabarkan ingin dan bersedia berkhidmat bersama Johor Darul Ta'zim (Johor DT) pada musim depan.

Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada Johor DT, pemain bek kiri dan penyerang Terengganu itu dikatakan berada dalam perancangan skuad Harimau Selatan yang dibimbing ketua jurulatih Bojan Hodak.

Selain itu, penjaga gol, Selangor, Farizal Marlias dan S Kunanlan turut diintai Johor DT dalam usaha memantapkan skuad itu menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, persiapan rapi perlu dirancang bagi memantapkan skuad itu dengan membawa masuk beberapa pemain tempatan yang berkualiti.

"Buat masa ini saya enggan ulas lanjut siapa pemain yang akan dibawa masuk sebaliknya akan mengumumkan secara rasmi kelak."

Apapun keempat-empat pemain import iaitu Luciano Figueroa, Jorge Pereyra Diaz, Marcos Antonio dan Hariss Harun dikekalkan manakala beberapa pemain tempatan akan dibawa masuk termasuk S Chanturu.

"Saya mahu memantapkan posisi serangan, bek kiri dan penjaga gol kerana ketiga-tiga posisi perlu diperkuatkan menghadapi saingan musim baru Liga M dan Piala AFC yang lebih mencabar.

"Kami perlu mendaftar seramai 30 pemain musim depan dan saya mahukan barisan terbaik untuk berusaha mengekalkan kejuaraan Liga Super dan paling utama membawa nama negara mengharungi Piala AFC," katanya.

Andai menjadi kenyataan, Zubir bakal menguatkan posisi bek kiri tatkala skuad Harimau Selatan kini hanya bergantung kepada Asaruddin Putra Omar dan Muhd Fazly Mazlan beraksi di posisi itu.

Difahamkan corak permainan pantas Zubir dan Nor Farhan yang sering mempamerkan aksi konsisten sepanjang saingan Liga M menarik minat Johor DT namun belum ada kata putus.

"Musim depan lebih mencabar dan kami perlu membuat persiapan rapi, malah dengan dibarisi pemain tempatan yang mantap dan pemain import berkualiti, ia beri kekuatan kepada JDT untuk beraksi saingan Liga M dan Piala AFC," kata Tunku Ismail.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:09 AM


Matt Davies ke JDT ?

Sabtu | 15 Februari 2020
MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
APAKAH pemain bek kanan Pahang, Matthew Davies bakal menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Super yang bakal menyingkap tirai 28 Februari ini.

Perkhabaran pemain kebangsaan itu berhijrah ke Harimau Selatan kini hangat diperdebatkan di laman media sosial walaupun di laman rasmi Johor Southern Tigers dan Persatuan Bola sepak Pahang (PBNP) sepi seribu bahasa.

Namun jemputan daripada pihak pengurusan JDT kepada media bagi majlis memperkenalkan pemain baharu juara Liga Super enam musim berturut-turut di Ibu pejabat Kelab Bola sepak JDT di Iskandar Puteri pada Isnin ini bagaikan merungkai spekulasi pemain mana yang akan bersama pasukan itu.

Jika Davies yang akan menyertai skuad Harimau Selatan ia pastinya menarik tatkala JDT turut membantu skuad Tok Gajah apabila meminjamkan Fazly Mazlan dan S Kumaaharan menyertai skuad bimbingan Dollah dan kemungkinan juga ia sebahagian perjanjian antara JDT dan Pahang.

Dikhabarkan keinginan JDT untuk mendapatkan pemain bek kanan tampak begitu memuncak selepas persembahan tidak konsisten S Kunanlan pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada pertembungan menentang Vissel Kobe yang menyaksikan skuad Harimau Selatan tewas 1-5.

Malah ia diperkukuhkan lagi dengan kecederaan yang dialami Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang mungkin memakan masa panjang untuk pulih dan posisi bek kanan ketika ini hanya diisi oleh Kunanlan dan Adam Nor Azlin.

Adam yang beraksi di posisi di bek tengah terpaksa memikul tugas di posisi bek kanan jika diperlukan.

Spekulasi bertambah kukuh tatkala kelibat Davies kemungkinan akan menyertai skuad Harimau Selatan apabila dia tidak kelihatan pada sesi latihan malah tidak diturunkan dalam aksi persahabatan terbaharu skuad Tok Gajah.

Apapun, segala jawapan sama ada Davies atau pemain lain yang akan diumumkan sebagai pemain baharu skuad Harimau Selatan hanya akan ditentukan Isnin ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 2:35 PM

Jumaat, 3 Januari 2020

Nor Azam tak ‘merajuk’

Simpan Artikel
MyMetroNode    
 
Oleh Mohd Rafi Mamat
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Gagal mendapat tempat di dalam kesebelasan utama sepanjang lima perlawanan Liga Super sebelum ini tidak sedikitpun mematahkan semangat dan keyakinan pemain muda Tok Gajah Mohd Nor Azam Azih untuk terus memburu posisi tengah yang pernah digalasnya sebelum ini.

“Saya menghormati keputusan jurulatih Zainal Abidin Hassan yang mempunyai percaturan terbaik bagi memastikan setiap perlawanan terus berpihak kepada Pahang yang kini dalam misi menjulang Liga Super musim ini.

“Mungkin saya kurang berkesan mengemudi bahagian tengah berbanding Hafiz Kamal, Azidan Sarudin dan Zesh Rehman yang kini dilihat begitu serasi dan berkesan membentuk gandingan mantap dengan jentera serangan.

“Saya tidak kecewa dan berkecil hati walaupun tidak diturunkan pada lima perlawanan sebelum ini.

“Malah, sepanjang berada di kerusi simpanan menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berusaha gigih memburu tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

Nor Azam yang sebelum ini membawa cabaran skuad Harimau Muda B berkata, prestasi Tok Gajah yang kini mendahului kedudukan carta Liga Super menambahkan lagi keinginannya untuk berada dalam kesebelasan utama pada baki perlawanan.

Katanya, jika boleh dia ingin merasa kepuasan membantu Tok Gajah mencatat kemenangan pada setiap perlawanan seterusnya.

Menurut pemain kelahiran FELDA Jengka 21, Maran itu, selepas gagal pada saingan Piala FA, peluang Tok Gajah merangkul piala Liga Super musim ini kini semakin hampir selepas mencatat keputusan membanggakan pada setiap perlawanan.

“Saya berharap musim pertama bersama skuad Tok Gajah kali ini berakhir dengan kenangan manis sebagai pemain yang menjadi pencetus kepada kejayaan merangkul Liga Super, seterusnya Piala Malaysia hujung musim ini.

“Saya menaruh harapan tinggi untuk beraksi pada perlawanan selepas ini... saya akan berusaha memperkemaskan lagi hantaran dan percubaan ke kubu lawan selain tendangan percuma yang mampu menghasilkan gol.

“Mungkin dengan cara itu akan dapat memikat hati jurulatih (Zainal Abidin) yang sentiasa berusaha menyusun strategi menjinakkan lawan dalam usaha mengekalkan kedudukan teratas Liga Super,” katanya.

Sebagai pendahulu Liga Super, Pahang kini memungut 33 mata meninggalkan Johor Darul Ta[zim (31) dan Perak (27). Skuad Tok Gajah akan berdepan pasukan bertaraf kelab Sime Darby FC di gelanggang lawan pada 1 Ogos ini.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 9:30 AM