ARKIB : 07/02/2003
KELIBAT ayam tambatan Pulau
Pinang, Hasmawi Hassan yang diletakkan sebagai pengemudi di bahagian tengah
pada musim ini akan teruji sepenuhnya pada pertembungan pembuka tirai menentang
juara Piala Malaysia, Selangor bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Batu
Kawan, Ahad ini, lapor AHMAD SYAHIR KASSIM
Walaupun sudah serasi dengan
posisi lamanya sebagai penggempur sejak dua tahun lalu, perubahan angin itu
juga dilihat sebagai strategi sulit Pulau Pinang untuk menundukkan jaguh Lembah
Klang itu.
``Perubahan itu sebenarnya
biasa dalam mana-mana pasukan dengan tujuan memantap dan mengukuhkan lagi
bahagian-bahagian yang difikirkan perlu.
``Tapi sekiranya ia dilihat
sebagai strategi terserah kepada tafsiran'' kata jurulatih Pulau Pinang, Irfan
Bakti semalam.
Perubahan posisi pemain yang
akan menyambut hari jadinya yang ke-23, Ogos ini juga mampu mempelbagaikan
kemahiran dan pengalaman pelatih skuad kebangsaan itu.
``Saya merasakan dia (Hasmawi)
mampu memikul tanggungjawab di posisi itu kerana sebelum ini dia pernah bermain
ditengah.
``Walaupun gandingannya dengan
rakan lain belum begitu mantap namun dengan kesungguhan dan kerja keras saya
yakin Hasmawi boleh buat,'' ujarnya.
Selain Hasmawi turut mengisi slot
di tengah ialah R. Sureshkumar, Nordin Khamis, Ng Kok Heng dan Chow Chee Weng.
Perubahan itu dilakukan
berikutan penampilan bekas penyerang Terengganu, Wan Rohaimi Wan Ismail dalam
skuad Pulau Mutiara yang akan digandingkan dengan Gustavo Alberto Romero juga
memberi banyak ruang kepada Irfan mengisi kekosongan jika berlaku kecederaan.
``Saya akan bekerja keras untuk
memainkan peranan yang diberikan oleh jurulatih, walaupun baru dua bulan
digandingkan dengan rakan di bahagian tengah namun saya merasakan sudah ada
keserasian dengan mereka.
``Pengalaman di bahagian itu
ketika mula menyertai Pulau Pinang di bawah kendalian Moey Yok Ham pada tahun
1999 juga banyak membantu,'' kata Hasmawi ketika dihubungi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cWV4zUZI
© Utusan Melayu (M) Bhd